Ibadah Umrah Dibenarkan Mulai 4 Oktober, Giliran Pengunjung Dari Luar Negara Pula Pada 1 November

Share

Selepas beberapa bulan ibadah umrah dan haji dihadkan kerana wabak pandemik COVID-19, Arab Saudi akhirnya membenarkan pelaksanaan ibadah umrah sepanjang tahun secara berperingkat mulai 4 Oktober 2020.

Menurut Saudi Press Agency, bagi peringkat pertama sebanyak 6,000 orang rakyat dan penduduk Arab Saudi dibenarkan untuk menunaikan umrah setiap hari bermula 4 Oktober. Untuk pengunjung dari luar negara pula, ia dibenarkan mulai 1 November apabila bilangan individu yang dibenarkan menunaikan umrah dinaikkan kepada 20,000 sehari.

Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi menegaskan bahawa keputusan membenarkan pelaksanaan umrah adalah sebagai maklum balas terhadap ‘aspirasi umat Islam di negara ini dan di seluruh dunia’ untuk mengerjakan ibadah itu dan menziarahi tempat suci tersebut.

Kota suci yang menarik kunjungan jutaan umat Islam setiap tahun itu juga adalah sumber ekonomi utamanya dan menerusi Wawasan 2030 Putera Mahkota Mohammed Salman, beliau berharap dapat mentransformasi ekonomi negara tersebut daripada kebergantungan ekonomi terhadap eksport minyak utama dunia kepada sumber lain, termasuk pelancongan agama.

Kerajaan Saudi berharap dapat menerima kunjungan 30 juta Jemaah ke negara itu setiap tahun menjelang 2030.

Walau bagaimanapun, diharap pengawasan ketat diberikan sebelum membenarkan kemasukan pelancong dari luar negara untuk menunaikan umrah.

Hm, bagi rakyat Malaysia pula kita tunggu kerajaan membuka pintu sempadan dulu ya, insyaAllah selepas ini kita juga berpeluang menunaikan umrah semula.

Sama-sama kita doakan agar penularan wabak COVID-19 ini tamat secepat mungkin.

Sumber: Harian Metro

Published by
Noor Ain Norman