Sebelum ini kerajaan telah mengumumkan penangguhan ibadah umrah berkuat kuasa pada 8 Januari lalu berikutan penularan jangkitan Omicron yang membimbangkan. Penangguhan ini dibuat untuk membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dan memperlahankan peningkatan kes COVID-19.
Namun begitu, kini kabinet telah memutuskan untuk membenarkan semula umat Islam mengerjakan ibadah umrah pada 8 Februari depan kerana kerajaan tidak berhasrat untuk memanjangkan tempoh penggantungan perjalanan ibadah itu.
Prosedur operasi standard (SOP) untuk kebenaran perjalanan itu masih sama seperti sebelum ini antaranya mewajibkan jemaah mengambil dos penggalak. Cuma mungkin ada beberapa SOP baharu untuk para jemaah dan akan dibincangkan bersama ejen pelancongan umrah.
Berita ini memberi kegembiraan buat hampir 10,000 jemaah yang terpaksa menangguhkan perjalanan umrah mereka, selain pihak pengendali umrah.
Difahamkan sebelum ini jemaah yang ingin menunaikan ibadah yang telah mengambil dua dos vaksin perlu menjalani 7 hari kuarantin dan bagi individu dua dos berserta booster hanya 5 hari kuarantin.
Kami doakan agar segala urusan para jemaah umrah dipermudahkan dan semoga kita juga bakal menjadi tetamu Allah di tanah suci satu hari nanti.
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.