Biarpun sudah agak lama meninggalkan padang sebagai seorang pemain bola sepak profesional England, lagenda kontemporari David Beckham masih tidak henti-henti menyokong pasukan negara kelahirannya itu dari belakang.
Setiap kali muncul acara atau kejohanan besar seperti UEFA EURO 2020 yang sedang berlangsung di sekitar benua Eropah, kelibat David di tempat duduk penyokong pasti dapat ‘ditangkap’ oleh peminat bola sepak.
Kali ini, David tidak keseorangan apabila beliau muncul bersama-sama anak terunanya, Romeo Beckham ketika perlawanan ‘Battle of Britain’ di antara England dan Scotland.
Bertempat di Stadium Wembley pada hujung minggu lalu, mereka berdua kelihatan persis abang dan adik apabila masing-masing segak menyarungkan sut biru gelap dan tali leher seiras.
Tambahan pula dengan warna rambut Romeo dalam tona bleached blonde, remaja berusia 18 tahun itu persis ayahnya sewaktu zaman muda.
Mereka berdua juga dilihat lebih selesa berdiri sambil menyaksikan aksi di padang Wembley. Ada ketikanya, jelas dari riak wajah mereka perasaan cemas semasa perlawanan berlangsung; namun masing-masing masih enjoy dengan prestasi kedua-dua buah pasukan biarpun terikat dengan skor 0-0.
ARTIKEL BERKAITAN : Anak Bujang David Beckham Selangkah Lagi Untuk Berkahwin! Ini 5 Fakta Tentang Tunangnya – REMAJA
Untuk pengetahuan, berbanding adik beradik lelakinya seperti Brooklyn, 22 dan Cruz, 16; Romeo lebih selalu tampil di stadium bagi menyaksikan perlawanan bola sepak terutamanya yang melibatkan pasukan England.
Terdahulu, duta terbaru jenama YSL itu dilihat memberikan sokongan semasa England menentang Croatia pada 13 Jun dengan menyarungkan jersi pemain kelab England berusia 21 tahun, Phil Foden.