Siapa sangka insiden tertukar bayi sebenarnya bukan rekaan dalam drama sahaja, tetapi benar-benar pernah berlaku di negara kita sendiri. Tiga bayi yang dilahirkan 20 tahun lalu, rupa-rupanya tertukar dipercayai akibat kecuaian petugas kesihatan di sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan.
Kejadian itu baru disedari apabila Adryani Iwani Ibeni Yanin, 20, ‘kembarnya’ Adryana Iwani, 20 dan kembar sebenarnya Noratirah Husin, 20, pada September tahun lalu selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan.
Ha, korang keliru tak?
Kejadian ini mula terbongkar ketika Adryani Iwani berada di tingkatan empat sewaktu mengikuti kem motivasi apabila secara tidak sengaja berjumpa dengan pelajar dari sekolah lain yang mendakwa mukanya seiras dengan rakan sekolah mereka, Noratirah.
Dia kemudiannya meminta gambar Noratirah daripada pelajar itu sebelum berkongsi akaun Instagram Noratirah yang dikatakan seiras dan sebaya dengannya.
Bagai sudah ditakdirkan, mereka bertemu buat pertama kali di Karnival Jom Masuk U di sebuah pasar raya di Kota Bharu pada Mac 2019 menyebabkan masing-masing terkejut apabila melihat persamaan ketara dari segi wajah dan bentuk badan.
“Saya terkejut, sebelum ini hanya dengar daripada kawan-kawan kata ada orang muka sama dengan saya, sekali tengok, eh…betullah ada orang muka serupa dengan saya. Belum pernah lagi saya berhadapan dengan perkara sedemikian,” katanya.
Akibat terlalu terkejut, masing-masing hanya berpandangan antara satu sama lain dan berlalu tanpa menyapa, namun perkara itu disedari oleh rakan-rakan yang lain.
Kejadian itu tidak berakhir di situ sahaja, sehinggalah Ogos tahun lalu apabila seorang rakannya memaklumkan tarikh lahirnya sama dengan Noratirah iaitu pada 19 Ogos selepas dia memuat naik foto majlis sambutan hari lahir di media sosial.
Noratirah kemudian menghubunginya melalui IG, banyak perkara yang dibincangkan dan mendapati terlalu banyak persamaan untuk disifatkan sebagai kebetulan. Mereka mengambil keputusan untuk melakukan DNA.
“Selepas berbincang, kedua-dua keluarga sepakat melakukan ujian DNA di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan bagi mengenal pasti sama ada terdapat pertalian antara kami,” katanya.
Ujian DNA itu dilakukan menggunakan sampel darah membabitkan dirinya, ibunya (Siti Aminah Ismail, 66), Adryana Iwani, Noratirah dan ‘bapa’ Noratirah, Husin Omar.
“Apabila keputusan keluar, kami amat terkejut terutama mama yang terduduk dan menangis selepas mengetahui keputusan ujian DNA ialah 99.99 peratus menunjukkan saya dan Noratirah ialah pasangan kembar, anak kepada Ibeni Yanin Mohd Salleh dan Siti Aminah.
“Adryana Iwani yang sebelum ini didaftarkan sebagai pasangan kembar saya pula ialah anak kandung kepada Husin Omar dan Rahmah Isa (meninggal dunia pada 2018) yang sebelum itu membesarkan Noratirah,” katanya.
Kakak kepada Adryani Iwani berkata, ibu mereka memaklumkan, doktor yang bertugas tidak pernah memaklumkan sama ada kembar yang dilahirkan ketika itu adalah kembar seiras atau sebaliknya. Tetapi disebabkan tag nama di kaki kedua-duanya nama mama mereka, jadi keluarga mereka tidak pernah terfikir tentang perkara itu dan beranggapan mereka kembar tidak seiras.
Berdasarkan rekod pada sijil kelahiran, Noratirah dilahirkan pada 1.14 pagi, diikuti Adryana Iwani (1.27 pagi) dan kemudiannya Adryani Iwani (1.34 pagi).
Tak dapat kami bayangkan bagaimana perasaan mereka dan keluarga menghadapi kebenaran ini. Setelah dibesarkan selama 20 tahun oleh bukan keluarga sendiri, pasti bukan mudah untuk mereka menerima hakikat ini, namun dalam masa yang sama tetap bersyukur kerana akhirnya segalanya telah terbongkar.
Sumber: (1)