Ibu Cheslie Kryst Hentikan Teori Konspirasi Tentang Tragedi Anaknya, Sahkan Niat Bunuh Diri

Share

 

“Saya tidak pernah mengetahui perasaan terluka seteruk ini. Kini kehidupan saya telah selamanya berubah..”

 

Begitulah luahan hati pertama oleh ibu mangsa kes bunuh diri, Cheslie Kryst yang juga merupakan Miss USA 2019, peguam serta koresponden program ExtraTV setelah kes tersebut mendapat laporan meluas di seluruh dunia, Isnin lalu.

Buat kali pertama, ibunya yang dikenali sebagai April Simpkins telah membuka mulut untuk memberikan komen lanjut mengenai anaknya yang berusia 30 tahun itu; beberapa hari selepas keluarganya mengeluarkan kenyataan am mengenai kes ini.

“Dalam kehidupan peribadinya, Cheslie sedang berhadapan simptom yang dikenali sebagai ‘High Defining Depression’ yang dia sendiri sembunyikan termasuklah daripada saya, insan paling rapat dengannya sehinggalah sebelum saat-saat akhirnya,” katanya.

Sehingga ke hari ini, ramai pihak yang masih sukar untuk menerima punca kematian Cheslie. Dia disifatkan sebagai seorang gadis yang mempunyai kehidupan yang serba lengkap – dirinya cantik, sihat, mempunyai tubuh fit, bergelar seorang peguam yang berkaliber bagi menangani ketidakadilan sosial dan pernah bergelar Miss USA serta bertugas dalam industri media di Extra TV. Mana-mana insan amat menginginkan kehidupan yang dimiliki Chelsie – she literally had it all!

Dalam diam, rupa-rupanya dia ‘bijak’ mengaburi mata semua pihak termasuklah ahli keluarga sendiri mengenai penderitaan dalaman yang dipendamnya seorang.

Terbaru, kematian Cheslie secara rasminya telah disahkan akibat percubaan membunuh diri oleh Ketua Pemeriksa Perubatan di Pejabat Bandaraya New York, lapor Variety.

Penglibatan Cheslie dalam dunia ratu cantik bertitik-tolak setelah mendiang melihat ibunya memenangi gelaran Mrs North Carolina pada tahun 2002 dan menggunakan platform tersebut untuk program advokasi bagi membantu mereka yang memerlukan.
Cheslie (kiri) bersama ayahnya dan ibu, April Simpkins sewaktu beliau memenangi gelaran Mrs North Carolina pada tahun 2002.

“Hari ini, apa yang diberitahu kepada keluarga dan rakan-rakan kami secara tertutup adalah punca kematian anak saya, Cheslie dan ia telah disahkan.”

Sambil mengimbas kembali momen gembira mereka bersama, April menambah, “Kami berbual, FaceTime atau menghantar mesej pada setiap hari. Kamu (Cheslie) adalah lebih daripada sekadar anak perempuan saya. Kamu ialah sahabat karib saya. Saat bercakap dengan mu adalah momen terbaik dalam kehidupan harian saya. Senyuman dan gelak-tawa kamu cukup dirasai,.

“Saya tidak pernah mengetahui perasaan terluka seteruk ini. Kini kehidupan saya telah selamanya berubah,” kongsi April.

Dalam pada itu, beliau turut memberi cadangan kepada mereka yang ingin membantu keluarga pada saat-saat sukar ini agar mereka memberikan sumbangan kepada organisasi Dress for Success yang pernah disokong sepenuh hati oleh mendiang Cheslie. Segala sumbangan itu akan digunakan untuk membantu menyediakan pakaian profesional buat wanita bekerjaya yang menerima gaji minima.

April juga menyatakan nombor talian National Suicide Prevention Lifeline yang boleh dihubungi oleh sesiapa yang bergelut dengan fikiran ingin membunuh diri.

Isnin lalu, REMAJA telah melaporkan mengenai nota terakhir yang telah ditulis oleh Cheslie sebelum kematian. Menerusi nota tersebut, mendiang telah meminta agar segala aset dan hartanya diserahkan kepada ibunya, April Simpkins.

ARTIKEL BERKAITAN : Wanita Terjatuh Apartmen Di New York Dikenal Pasti Sebagai Miss USA 2019, Cheslie Kryst – REMAJA

BACA LAGI : Ratu-Ratu Sedunia Ratapi Pemergian Miss USA 2019 Dengan Rasa Terkejut – REMAJA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ