IDAN AEDAN Lakar Sejarah Jadi Pelakon Malaysia Pertama Muncul Dalam Drama Netflix Antarabangsa

Share

Nama Muhammad Shahidan Abdullah mungkin masih kedengaran janggal dalam kalangan penonton Malaysia.

Namun jika disebut nama Idan Aedan dan korang dipertontonkan dengan aksi lakonannya, tentu masing-masing akan menyebut, “Oh, dia ni..”.

Idan Aedan juga pernah muncul menerusi filem Kerana Korona dan Anak Rimau The Movie.

Idan, 18 telahpun bergelar anak seni seawal usia 11 tahun lagi menerusi drama bersiri dan filem di Malaysia. Paling diingati penulis adalah kelibatnya dalam filem Pulang selaku Omar iaitu anak kepada Remy Ishak dan Puteri Aishah semasa kecil.

Kini, Idan sekali lagi membuktikan bahawa usia muda bukanlah penghalang untuk memecah tembok mustahil apabila dia menjadi pelakon dari Malaysia yang pertama disunting untuk membintangi drama bersiri Netflix Antarabangsa.

Menerusi drama 13 episod berjudul Mr. Midnight: Beware The Monsters, Idan diberikan kepercayaan menjadi peneraju utamanya dengan memegang watak Tyar.

Drama yang menjalani penggambaran di Batam, Indonesia dan Singapura pada pertengahan tahun lalu itu diadaptasi daripada sebuah novel popular di Singapura. Ia mengisahkan tentang keistimewaan yang dimiliki Tyar untuk melihat dan berkomunikasi dengan makhluk halus. Ini kerana keluarga di sebelah ibunya terdiri daripada dukun.

“Tyar yang berumur 17 tahun tidak tahu bagaimana hendak mengawal situasi tersebut. Bermacam-macam konflik timbul ketika dia berhadapan dunia ghaib.

“Saya bersyukur diberikan peluang sebesar kerana saya tidak pernah terbayang untuk sampai ke tahap itu. Umur saya pun baru 17 tahun (ketika menjalani penggambaran). Rezeki saya, Alhamdulillah,” syukurinya.

Selain Idan, turut membintangi drama ini termasuklah pelakon muda seperti Caleb Monk, Chen Yixin Nikki Dekker dari Australia serta Adinia Wirasti dan Maxime Bouttier dari Indonesia.

Keterujaan yang dirasai Idan ini berlipat kali ganda memandangkan drama ini mengetengahkan genre kegemarannya iaitu seram. Peluang bekerja dengan produksi antarabangsa seperti Netflix juga katanya banyak membuka mata mengenai cara mereka mengendalikan sesebuah projek seperti Mr Midnight: Beware The Monsters.

“Tipulah kalau saya cakap saya tidak pernah impikan untuk berlakon dengan produksi antarabangsa. Cuma, saya tak sangka rezeki saya datang secepat ini.

“Saya juga dapat bekerjasama dengan tiga pengarah hebat dari luar negara iaitu Tony Tilse, Sean Oliver dan Yee-Wei Chai. Bukan saja saya belajar tentang lakonan, saya turut diberikan pendedahan tentang camera work yang membuatkan syaa lebih memahami keseluruhan perjalanan cerita ini,” kongsinya.

Musim pertama Mr. Midnight: Beware The Monsters telahpun ditayangkan di platform Netflix sejak minggu lalu dan berdasarkan cliffhanger yang berlaku pada akhir jalan cerita musim ini, mungkin ia akan kembali ke Netflix untuk musim kedua.

ARTIKEL BERKAITAN : Drama Pertama Meerqeen Di Indonesia Tayang Esok, Tapi Sudahpun Dirisik Beberapa Produksi Lain – REMAJA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ