Kurang seminggu lagi sebelum perlaksanaan Pilihan Raya Negeri Sabah 2020.
Semalam, proses penamaan calon telahpun berlangsung demi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri di bawah bayu itu.
Sekilas pandang terhadap senarai tersebut, REMAJA tertarik dengan calon paling muda pada PRN Sabah kali ini. Pada usia 23 tahun, Yillson Yanggun akan bertanding untuk DUN Tandek di samping 5 lagi calon lain.
Untuk pengetahuan korang, kawasan DUN tersebut akan mengumpulkan seramai 15,969 pengundi berdaftar untuk menentukan bakal pemimpin mereka.
Ketika ditemui oleh rakan media di sana sebagai calon muda kali ini, Yillson menegaskan bahawa membawa gelombang suara anak muda agar berkumandang di Dewan Undangan Negeri Sabah.
“Sekarang adalah zaman orang muda. Semestinya orang yang layak untuk terlibat dalam peremajaan parti adalah orang muda sendiri yang faham dengan keperluan dan kepentingan revolusi industri 4.0; menuju ke arah 5.0.
“Anak muda di Sabah inginkan transisi kepada pembangunan luar biasa. Pada pandangan saya, apabila sesebuah kawasan di Sabah ini dimenangi oleh orang muda, struktur pembangunan di sana adalah laju. Ini kerana kerja orang muda ini laju. Bukan untuk menidakkan kerja orang lama, cuma kami perlu diberi peluang,” katanya yang akan mewakili parti Barisan Nasional.
Tambah Yillson lagi, dia ingin membawa pembangunan yang membawa kelebihan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada kawasannya dan Sabah, secara amnya.
“Isu utama di tempat saya adalah pembangunan fizikal iaitu perhubungan jalan raya, jaringan internet dan bekalan air serta elektrik. Akhirnya, bukan kawasan saya saja akan berkembang tetapi negeri Sabah juga mendapat tempias pembangunan.
“Idea orang muda bukan hanya sekadar janji, janji, janji… tetapi ia difikirkan secara realistik dan untuk kepentingan semua orang.
“Kebanyakan masyarakat di sini tertumpu pada sumber pertanian dan perikanan. Dengan keadaan harga getah dan kelapa sawit yang menurun, calon muda perlu membantu memikirkan alternatif sumber ekonomi kepada mereka,” jelasnya lagi yang menjadikan YB Arthur Joseph Kurup sebagai figura ahli politik yang dia hormati.
Selamat maju jaya, Yillson!