Ikan Mentah Antara 5 Makanan Yang Nampak Biasa Tapi Bahaya Untuk ‘Si Bulus’

Share

Happy International Cats Day!

Ramai di kalangan kita pencinta kucing yang juga haiwan kesayangan Nabi Muhammad SAW. Sikap manja si bulus, wajah yang comel membuatkan mereka yang membela binatang ini tidak pernah berkira kos dikeluarkan membeli makanan.

Untuk info, tarikh 8 Ogos merupakan hari kucing antarabangsa tau. So, kepada pemilik kucing mungkin bolehlah buat sesuatu yang special untuk si manja korang hari ini kan?

Sempena hari kucing antarabangsa ni, jom kita belajar mengenai lima makanan yang nampak biasa bagi kita tapi bahaya untuk 'si bulus' kesayangan korang tu!

Ikan Mentah

Ikan mentah dikatakan merbahaya jika diberi pada kucing. Terutamanya ikan tuna yang boleh mengakibatkan keracunan pada kucing kerana kandungan merkuri yang terdapat di dalamnya. Menurut seorang veterinar yang dikenali sebagai Dr Pria, di dalam badan ikan mentah terdapat enzim bagi menghancurkan vitamin B dalam tubuh badan kucing yang penting untuknya. Ikan mentah juga mungkin mengandungi bakteria dan parasit yang boleh mengakibatkan kucing akan jatuh sakit atau mati.

Kalau korang nak bagi ikan pada kucing, pastikan ikan tersebut dimasak terlebih dahulu dan jangan lupa untuk mengasingkan tulang dan berikan isinya sahaja.

Telur Mentah

Telur adalah sumber protein yang sangat baik bukan sahaja untuk manusia tetapi juga pada kucing. Namun kucing hanya boleh makan bahagian kuning telur sahaja kerana putih telur mengandungi avidin yang berfungsi melindungi pertumbuhan bakteria pengganggu kuning telur.

Tubuh kucing juga akan kekurangan vitamin B yang diperlukan jika avidin mengikat biotin iaitu unsur pembentukan vitamin B.

Tulang

Walaupun kucing liar sering memakan buruannya namun adalah lebih baik jika kita tidak memberikan makanan yang bertulang pada kucing. Apabila kucing tercekik tulang ikan atau tulang ayam, ini amat berisiko terutamanya ia boleh menyebabkan berlakunya kebocoran pada usus, terkena jangkitan atau mengalami masalah pernafasan.

Risiko tulang yang dimakan oleh kucing akan tersangkut dibahagian gigi, gusi, lelangit dan tekak haiwan itu juga sangat tinggi.

Coklat

Walaupun coklat sangat lazat dan kucing juga menyukainya, namun coklat tersebut boleh menjadi salah satu antara makanan yang berbahaya untuk kucing. Selain dari kandungannya yang mempunyai kafein, ia juga mengandungi theobromine iaitu sejenis bahan toksik yang berbahaya terutamanya pada coklat gelap.

Coklat yang dimakan oleh kucing boleh menyebabkan gangguan pada usus dan kucing akan mengalami cirit-birit dan muntah. Jika ia dimakan secara berlebihan, simptom akan menjadi bertambah parah dan boleh menyebabkan sawan atau koma dan mungkin juga kucing akan mati. Jadi, kucing tidak sesuai makan coklat terutamanya coklat gelap yer.

Susu

Anda mungkin selalu memberikan susu pada kucing kesayangan anda agar tumbesaran kucing lebih cepat. Sebenarnya, susu memang bagus untuk pertumbuhan namun ianya tidak baik untuk kucing dan sangat berbahaya kepada perut kerana kebanyakan kucing tidak boleh mencerna laktosa iaitu sejenis gula yang terdapat pada produk tenusu.

Apabila kucing meminum susu, ia boleh menyebabkan kekejangan perut dan cirit-birit. ini kerana laktosa yang tidak dihadam dengan baik akan tertinggal di dalam usus kucing dan bukannya mengalir ke dalam darah.

jadi, inilah antara makanan-makanan berbahaya yang tidak boleh sebarangan diberikan pada kucing kesayangan anda. Lebih baik sayangilah kucing kita dengan memberikan makanan khas buat kucing agar nutrisi dan pencernaan mereka tetap terjaga.

Psst… nak tahu tak kucing jenis ni boleh membesar dengan jayanya tau. Ada kajian mengatakan sebesar seekor anjing!

Published by
Ruziana Zainal