
Seekor ikan tuna biru gergasi sepanjang sebuah motosikal berjaya dijual pada harga 204 juta Yen atau kira-kira RM6 juta pada acara lelongan tahunan di Pasar Ikan Toyosu di Tokyo, Jepun.
Berlangsung pada 5 Januari lalu, pembelian ikan seberat 276 kilogram itu telahpun dibuat hasil perkongsian bersama pemborong terkenal Yamayuki dan restoran sushi mewah, Sushi Ginza Onodera.
Ia telahpun mencuri tumpuan ramai dan suasana di sekitar pasar bertukar meriah setelah tukang lelong membunyikan loceng sebagai tanda jualan.
Proses sebelum acara juga bukanlah kaleng-kaleng apabila ikan-ikan yang dilelong diperiksa dengan teliti oleh pembida dan vendor sebelum dibeli.
Nilai lelongan untuk ikan tuna biru ini sekaligus mencatat rekod sebagai yang kedua tertinggi dalam sejarah acara selepas ia pernah mencatatkan nilai lelongan 333.6 juta Yen (kira-kira RM13 juta) pada tahun 2018, lapor media tempatan.

Sebagai info, Pasar Ikan Toyosu merupakan sebuah pusat perdagangan tuna utama di Jepun dan sering menjadi salah satu lokasi kunjungan penggemar makanan laut dari seluruh dunia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Bekas Setiausaha Tun Abdullah Anggap Allahyarham Amat Penyabar. “Insan Yang Mulia Hatinya, Bersih…”

Bekas Setiausaha Akhbar kepada mantan Perdana Menteri Malaysia kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan beliau sebagai seorang insan yang amat penyabar.
Selama lebih enam tahun berkhidmat dengan Tun Abdullah yang mesra dengan panggilan Pak Lah itu, Izad Raya yang ditemui rakan media di Astro Awani berkata, dia tidak pernah melihat reaksi amarah terpancar pada wajah Allahyarham. Sebaliknya, beliau memilih untuk berdiam diri sekiranya dihambat emosi.
“Hakikat(nya), beliau merupakan seorang insan yang sangat penyabar. Sepanjang berkhidmat selama lebih enam tahun, saya tidak pernah melihat Pak Lah marah, meninggi suara apatah lagi bertempik atau sebagainya.
“Tun Abdullah atau Pak Lah sekiranya marah akan lebih mendiamkan diri. Mungkin riak mukanya akan berubah tetapi tidak pernah meningkat, menaikkan suara, menjerit jauh sekali.
“Saya rasa saya pernah berkhidmat dengan beberapa ahli politik dan Tun Abdullah saya akan labelkan sebagai insan yang paling mulia hatinya. Bersih,” katanya memperingati momen dalam kerjaya profesionalnya bersama Allahyarham.

Jenazah Allahyarham Tun Abdullah Ahmad pada masa ini telah tiba di Masjid Negara Kuala Lumpur untuk sesi penghormatan terakhir oleh pemimpin negara dan orang ramai di Dewi Solat Masjid Negara.
Jenazah Allahyarham Tun Abdullah dijadualkan bakal dikebumi di Makam Pahlawan, Masjid Negara selepas selesai solat Zohor pada tengah hari ini.
Semalam, kerajaan memutuskan Allahyarham Tun Abdullah akan diberikan penghormatan ‘Istiadat Pengebumian Negara’ selepas beliau menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam tadi pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
SUMBER: Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Akaun Instagram Bernama ‘Muhammad Imran Suresh’ Adalah Palsu – PDRM

Sejak hari Selasa semalam, tular sebuah akaun Instagram atas nama Muhammad Imran Suresh dalam kalangan warganet setelah empunya akaun mendakwa memiliki maklumat berkaitan kes kejadian simbah asid terhadap pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim.
Dakwa pemilik akaun itu, dia mengetahui kejadian sebenar yang menimpa Faisal malah telahpun dipanggil polis untuk membantu siasatan kes.
ARTIKEL BERKAITAN: Faisal Halim Jadi Pemain Bola Sepak Kedua Diserang, Kali Ini Disimbah Asid Sehingga Terpercik Pada Kereta – REMAJA
Begitupun pada hari ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu sidang media telahpun mengenal pasti bahawa akaun Instagram itu hakikatnya adalah akaun palsu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bagaimanapun tidak menjelaskan butiran lanjut mengenainya dan sebaliknya menegaskan bahawa pihak polis sedang memantau perkembangan kes ini dan siasatan sedang giat dilakukan.
“Kita tidak mempunyai angka (akaun palsu yang ditemui) buat masa ini. Kadang-kadang (akaun) ada, selepas itu sudah tiada.
“Kita akan minta bantuan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk bantu PDRM (bagi mengenal pasti pemilik-pemilik akaun media sosial yang tampil membuat dakwaan liar berhubung kes ini),” katanya kepada Awani di Bukit Aman.

Dalam perkembangan lain, PDRM pada tengah hari Selesa telah mengesan pemilik akaun Muhammad Imran Suresh.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya ingin mengesan individu tersebut untuk memastikan sekiranya dia memiliki maklumat yang boleh membantu siasatan.
Memetik kenyataannya kepada Kosmo, mana-mana individu lain yang mempunyai apa-apa maklumat berkaitan boleh tampil ke hadapan dan bukannya mengeluarkan kenyataan sebarangan terutamanya di media sosial sehingga boleh menjejaskan siasatan.
Beliau juga menggesa agar orang ramai tidak membuat spekulasi liar berkenaan kes kejadian simbah asid mahupun dua lagi insiden lain yang menimpa pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid yang dipukul di kepala lalu disamun serta Safiq Rahim yang mendapati kenderaan miliknya dipecahkan oleh individu tidak dikenali.
ARTIKEL BERKAITAN: Pergerakan & Percakapan Faisal Halim Terbatas, Berkemungkinan Besar Terpaksa Bersara Awal – REMAJA
BACA LAGI: Faisal Halim Terima 10 Hari Rawatan Lanjut Di ICU – REMAJA
SUMBER: Awani & Kosmo
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Kibaran Bendera China Di Putrajaya Curi Perhatian, Ramai Tidak Sedar Ini Protokol Diplomatik

Terbaru, menjelang lawatan negara oleh Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia dari 15 hingga 17 April ini bandar Putrajaya telah dihiasi dengan kibaran bendera China dan Jalur Gemilang di sepanjang laluan utama telah menarik perhatian segelintir masyarakat terutama warga internet.
Walaupun ramai sedia maklum bahawa langkah ini adalah amalan biasa dalam protokol diplomatik antarabangsa bagi menyambut ketibaan pemimpin tertinggi negara asing. Namun, masih wujud beberapa individu mempersoal dan menyuarakan pandangan berbeza di media sosial mengapa bendera negara China dikibarkan di Putrajaya disebabkan propaganda politik.

Mengapa Bendera China Berkibar di Putrajaya?
Kibaran bendera China di sekitar Putrajaya bermula pada hari ini sehingga 17 April merupakan simbol penghormatan dan sambutan rasmi terhadap lawatan Presiden Xi Jinping. Selain itu, ia juga adalah penghargaan bagi memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan China.
Lawatan ini dibuat atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dan bertujuan untuk memperkukuh hubungan diplomatik yang telah terjalin sejak 31 Mei 1974.
Pada tahun lalu, kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik mereka dan telah menaik taraf hubungan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif .

Dalam pada itu, selain China, Malaysia juga mempunyai amalan diplomatik sama apabila menerima kunjungan rasmi pemimpin negara asing lain. Contohnya, semasa lawatan rasmi oleh Presiden Indonesia, Perdana Menteri Jepun, dan Raja Arab Saudi sebelum ini, bendera negara-negara terbabit turut dikibarkan di Putrajaya, Kuala Lumpur dan sekitar lokasi acara rasmi.
Pada masa yang sama, amalan mengibarkan bendera negara tetamu bukan sahaja dilakukan di Malaysia, malah turut diamalkan oleh negara-negara lain apabila menerima kunjungan rasmi pemimpin Malaysia ke luar negara.
Ketika lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia ke China, Indonesia, atau Arab Saudi, bendera Jalur Gemilang juga akan dikibarkan di lapangan terbang, jalan-jalan utama dan lokasi rasmi sebagai tanda penghormatan dan sambutan negara tuan rumah.

Tindakan ini merupakan sebahagian daripada protokol kebangsaan yang bertujuan menunjukkan penghormatan serta memupuk hubungan mesra dua hala antara Malaysia dengan negara-negara berkenaan serta mencerminkan semangat keterbukaan dan persahabatan dalam hubungan antarabangsa Malaysia.
Sekadar info, China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, dengan jumlah dagangan bernilai RM484.12 bilion pada tahun 2024, menyumbang 16.8% daripada nilai perdagangan global Malaysia.
Lawatan Presiden Xi Jinping ini bukan sahaja dijangka memperkukuh lagi kerjasama ekonomi, pelaburan, dan perdagangan tetapi juga menandakan komitmen kedua-dua negara dalam memperluas kerjasama strategik di rantau Asia Tenggara.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.