Setiap kali musim perayaan menjelma pastinya ramai yang menantikan iklan raya daripada syarikat-syarikat korporat tempatan.
Terbaru, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah pun melancarkan iklan Tahun Baru Cina yang bertemakan kekeluargaan dan mengetengahkan idea ikatan yang terjalin bersama insan tersayang ketika musim perayaan.
Apa yang menariknya, iklan tersebut membawa penonton merasai keseronokan meraikan perayaan bersama keluarga melalui pendekatan realiti maya (VR). Memang lain daripada yang lain la.
Iklan tersebut mengisahkan tentang seorang pemuda Cina yang tidak dapat pulang ke kampung, namun ibunya tidak mahu anak lelakinya ketinggalan merasai kemeriahan menyambut raya di kampung halaman lalu menghantar satu bungkusan istimewa, iaitu peranti VR yang bertemakan Tahun Baru Cina.
Selepas memakai peranti tersebut, lelaki itu dibawa ke alam maya dan menyaksikan sambutan perayaan dirumahnya yang dihadiri seisi keluarga tersayang. Walaupun lucu, tetapi mesej yang disampaikan sangat jelas dan mampu mengusik jiwa penonton.
Video iklan yang di muat naik di laman Facebook TNB ini mendapat lebih daripada 45 ribu perkongsian dan rata-rata memberi pujian kepada TNB atas usaha dan mesej yang ingin disampaikan mereka.
Syabas kami ucapkan kepada Tenaga Nasional Berhad kerana berjaya menyelami perasaan sebenar masyarakat kita. Siapa sahaja tidak sedih jika tidak dapat pulang ke kampung betul tak?
Apa-apa pun Remaja juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua yang meraikannya.
Sumber: Tenaga Nasional Berhad