Berita

Ikon Kosmetik, Pengasas Mustika Ratu Meninggal Dunia Pada Usia 96 Tahun

Share

Mooryati Soedibyo, pengasas jenama kecantikan terkenal Mustika Ratu dan ikon dalam dunia jamu tradisional Indonesia, telah meninggal dunia pada awal pagi Rabu tadi.

Putri Kuswisnuwardani, anak perempuannya, mengesahkan berita duka ini kepada wartawan di Indonesia.

Jenama Mustika Ratu, yang terkenal dengan rangkaian produk kecantikan dan kesihatan, menjangkau pasaran domestik serta internasional, termasuk di Asia Tenggara, Timur Tengah, dan Amerika Syarikat.

Pemergian Mooryati, yang berusia 96 tahun, dirasakan sebagai kehilangan yang mendalam oleh Indonesia, terutama dalam bidang pembangunan wanita, serta industri kecantikan dan kesihatan.

“Jenama herba yang diilhamkan dari resepi Kerajaan Surakarta telah banyak menyumbang kepada kesihatan masyarakat serta meningkatkan nama Indonesia di peringkat antarabangsa,” ujar Tantowi Yahya, bekas Duta Besar Indonesia ke New Zealand.

Mooryati Soedibyo telah diperkenalkan dengan resepi kecantikan tradisional dan jamu di tempat asalnya, Keraton Surakarta, yang dikenali sebagai pusat budaya Jawa, sejak berusia 3 tahun.

Berkat minatnya terhadap jamu sejak kecil, Mooryati bertekad untuk mengubah ramuan herba resepi Keraton Surakarta menjadi sebuah perniagaan.

Pada tahun 1973, beliau menubuhkan PT. Mustika Ratu dan memulakan eksport produk herba dan kecantikannya ke 20 negara, termasuk Rusia, Belanda, Jepun, Afrika Selatan, Asia Barat, Malaysia, dan Brunei.

Untuk pengetahuan, Ibu Mooryati juga bukan sahaja cantik dan berketurunan darah pahlawan, bahkan beliau juga seorang yang bijak. Beliau merupakan alumni Universitas Saraswati, Univesitas Terbuka dan Universitas Sebelas Maret Surakarta. Bahkan gelaran Doktor diperoleh dari Universitas Indonesia dalam jurusan ekonomi. Tak cukup dengan itu, nama beliau tercatat dalam The Indonesia World Records Musuem (MURI).
Sumbangannya yang luar biasa dalam industri kecantikan dan kesihatan akan terus menjadi sumber inspirasi bagi generasi yang akan datang. Terima kasih ibu Mooryati Soedibyo.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Nana