Pernah mengharumkan nama Malaysia di peringkat Asia dan antarabangsa, Elly Idzlianizar Elias, 40, dilaporkan meninggal dunia semalam.
Berita sedih itu dikongsikan oleh adik Allahyarham, Elly Idzliaikmal Elias, menerusi laman sosial miliknya.
“Selamat jalan abangku #16. Semoga tenang di negeri abadi, abang sayangku. Moga ditempatkan di syurga. Tunggu kami di sana, abang. Nanti kita jumpa di sana,” tulis Elly Idzliaikmal dalam perkongsiannya.
Allahyarham dikenali sebagai pelumba berbakat besar yang memulakan karier di arena perlumbaan tempatan, Cub Prix.
Sepanjang kariernya, Allahyarham berjaya menjuarai beberapa kejohanan bersama pengeluar terkenal seperti Yamaha, Honda, dan Suzuki. Beliau turut terpilih menyertai program pencarian pelumba ‘wildcard’ negara untuk beraksi di Grand Prix Malaysia pada tahun 2009.
Bakat luar biasanya membolehkan Allahyarham terpilih menyertai program tersebut bersama Zulfahmi Khairuddin dalam kelas 125cc, dengan pasukan Air Asia.
Selepas bersara daripada dunia perlumbaan, Allahyarham turut menceburi bidang pengacaraan dan pernah menjadi pengulas perlumbaan Cub Prix.
Selain itu, Allahyarham juga menulis sebuah buku autobiografi berjudul Evolusi Elly: Daripada Rempit kepada Juara, yang diterbitkan pada tahun 2010.
Difahamkan jenazah Allahyarham telah dibawa ke Hospital Alor Setar untuk menjalani proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian.
Fakta menarik mengenai Elly Idzlianizar Elias
- Ikon Lumba Motosikal Malaysia: Elly Idzlianizar Elias merupakan salah seorang pelumba motosikal Malaysia yang dikenali kerana kejayaannya dalam perlumbaan di peringkat tempatan dan antarabangsa pada zamannya.
- Juara Kebangsaan: Elly pernah menjadi juara dalam pelbagai kejohanan motosikal kebangsaan, menjadikannya antara pelumba paling berjaya dalam sejarah sukan lumba motosikal negara.
- Penglibatan Awal: Beliau mula melibatkan diri dalam sukan lumba motosikal pada usia muda, dan bakatnya segera dikesan oleh pihak industri. Ini membawa kepada kerjaya yang cemerlang dalam perlumbaan motosikal.
- Pencapaian di Peringkat Antarabangsa: Selain daripada kejayaan di peringkat kebangsaan, Elly juga berjaya mengukir nama di peringkat antarabangsa, mewakili Malaysia dalam pelbagai pertandingan dan acara di seluruh dunia.
- Pengaruh Terhadap Sukan Motosikal Malaysia: Sebagai salah satu pelumba motosikal yang berjaya, Elly telah memberi inspirasi kepada generasi baru pelumba motosikal di Malaysia. Penglibatan dan kejayaannya telah membantu mempopularkan sukan tersebut di negara ini.
- Kemahiran Luar Biasa: Elly dikenali dengan kecekapan teknikalnya dalam mengendalikan motosikal, serta keberanian dan ketangkasan di litar lumba. Ini menjadikannya pesaing yang disegani di kalangan rakan pelumba.
- Legasi Berterusan: Walaupun telah bersara dari sukan lumba motosikal, namanya masih dikenang sebagai seorang legenda dalam sukan ini, dan pengaruhnya terhadap sukan lumba motosikal Malaysia tetap dirasai hingga hari ini.
Al-Fatihah buat Elly Idzlianizar Elias, jasamu mengharumkan nama Malaysia akan dikenang sampai bila-bila.
Sumber : Sinar Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Lakukan Amang Seksual Kepada Pelajar, Guru Mengaku Tidak Bersalah.
Seorang guru sekolah menengah yang terletak di Baling, Kedah tidak mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan yang dikenakan terhadap dirinya.
Tertuduh Mohd Zarin Amin Johari yang berusia 35 tahun yang didakwa melakukan amang seksual tehadap seorang pelajar sekitar bulan Mac dan Disember 2018.
Seperti yang dilaporkan oleh Astro Awani, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap pelajar berusia 16 tahun di kuaters penginapan guru di Charok Nau, Baling sekitar jam 3 pagi pada 2 Mac 2018 manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh dituduh melakukan amang seksual ke atas mangsa pada jam 3.30 pagi, 3 Mac 2018 dan 2 petang, 13 Disember 2018.
Ekoran pertuduhan ini, tertuduh telah didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.
Hakim Azman Abu Hassan telah menetapkan 25 Oktober akan datang sebagai tarikh sebutan semula kes serta tertuduh dibenarkan diikat jamin sebayak RM8000 dengan seorang penjamin.
Selain itu, Mohd Zarin tidak boleh mendekati mangsa dalam jarak 20 meter, perlu menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan bermula 27 Oktober depan sehingga kes selesai.
***P/S- Kes masih di dalam siasatan & perbicaraan, penulis tidak boleh memberikan ulasan dengan lebih lanjut tentang hal ini. Namun kepada remaja-remaja di luar sana sila berhati-hati dengan siapa anda berhubungan. Rata-rata kes amang seksual dilakukan oleh orang yang di kenali. Kenal pasti jenis sentuhan yang patut dan tidak patut. Seandainya anda pernah menghadapi amang seksual sila kongsi dengan ibu bapa dan juga pihak berkuasa.
Sumber: Astro Awani
Shah Alam Catat Bacaan IPU Tidak Sihat, Ini 7 Amalan Yang Korang Boleh Buat
Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Shah Alam mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu 107 tengah hari semalam.
Menurut Sinar Harian, berdasarkan peta taburan IPU sebanyak 66 stesen JAS di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU sederhana dan hanya tiga stesen mencatatkan bacaan baik iaitu di Sandakan dan Tawau, Sabah dengan bacaan IPU 27 dan 38.
Manakala, Kota Tinggi Johor juga mencatatkan bacaan IPU rendah iaitu 43.
Untuk pengetahuan korang, bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, antara 51 dan 100 (sederhana), antara 101 dan 200 (tidak sihat), antara 201 dan 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).
Pagi ini juga bandar Shah Alam masih dilihat masih berjerebu. Kesan jerebu ini boleh menyebabkan korang sukar untuk bernafas, gatal-gatal tekak, gatal mata dan bahagian kulit, malah boleh menyebabkan jangkitan pada bahagian saluran pernafasan.
Oleh itu, korang dinasihatkan untuk melakukan beberapa amalan untuk mengurangkan masalah kesihatan akibat jerebu.
Antaranya adalah seperti:-
• Kurangkan aktiviti luar
• Jangan merokok
• Banyakkan minum air kosong sekurang-kurangnya 2 liter sehari
• Selalu membasuh tangan dan muka selepas melakukan aktiviti luar
• Dapatkan nasihat perubatan
• Guna topeng muka (mask) apabila tahap kualiti udara tidak sihat
• Pastikan persekitaran dalam rumah sentiasa bersih
Secara kesimpulannya, elakkan berada di luar rumah/bangunan sekiranya korang tidak mempunyai apa-apa urusan penting okay?
“Rasa Tak Sedap Hati, Kami Keluar Mencarinya…”, Pelajar Kongsi Tragedi Kawan Mati Dijerut
Penemuan satu mayat pelajar Kolej Vokasional Port Dickson, Nur Alya Damia Hairi dipercayai dijerut semalam sekitar jam 10.30 malam membuatkan rakan sebilik mangsa begitu terkejut. Pelajar berusia 19 tahun dan penuntut akhir Diploma Rangkaian Komputer ini dikatakan mahu bertemu bekas teman lelakinya namun rakan sebiliknya berasa tidak sedap hati lalu menelefon lelaki berkenaan yang kemudian mendakwa Alya tiada bersamanya.
“Saya mengajak seorang lagi kawan menaiki motosikal mencarinya tapi kami nampak polis sudah ada di tempat kejadian,”kata Ain Zulaika Zamuri, rakan sebilik pelajar mangsa dijerut.
“Kami menjerit, Allahuakbar…. ‘
“Ketika itu, kami hanya melaungkan Allahuakbar dan menangis sekuat hati,” kata Ain Zulaika Zamuri, 19, selepas rakanya yang juga penuntut kolej ditemui mati dipercayai akibat dibunuh, di tepi jalan di Lorong 4, Taman PD Permata, di Port Dickson, semalam.
Pada kejadian jam 10.30 malam itu, mayat Nur Alya Damia Hairi, 19, yang juga penuntut Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) ditemui oleh orang awam yang kemudian memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa.
Menurut Ain Zulaika Zamuri, 19, berkata, sebelum kejadian, Nur AlyaDamia yang juga rakan sekelas dan sebiliknya itu keluar dari asrama kolej pada jam 9 malam dan memaklumkan mahu bertemu teman lelakinya di kawasan berhampiran.
Penuntut Diploma Rangkaian Komputer itu berkata, berikutan tidak sedap hati, dia menghubungi teman lelaki mangsa dan terkejut apabila dimaklumkan lelaki itu tidak bertemu Nur Alya Damia.
“Disebabkan itu, saya bersama dua rakan sebilik yang lain bertindak mencarinya dengan menunggang motosikal. Sebaik tiba di Taman PD Permata, kami ternampak anggota polis dan orang ramai berkumpul tepi jalan. Saya mendekati kawasan itu dan terkejut apabila mendapati mayatnya (Nur Alya Damia). Tidak disangka perkenalan kami begitu singkat kerana kami masih berada di semester pertama,” katanya.
Ain Zulaika berkata, mangsa adalah anak sulung daripada tiga beradik dan berasal dari Klang, Selangor.
Sementara itu, saksi kejadian Izwan Mustaffa, 30 berkata, dia menemui mayat mangsa ketika mahu membuang sampah di depan rumahnya.
Dia yang ketakutan kemudian memaklumkan jiran sebelum panggilan dibuat terhadap pihak polis. Juruteknik kilang itu berkata, dia terkejut apabila pihak polis yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan remaja itu sudah meninggal dunia.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mohd Faisal Mohd Noor berkata, sepasukan anggota forensik bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan orang awam. Katanya, pemeriksaan menemui kesan jerut pada leher mangsa dan remaja itu dipercayai dibunuh.
“Buat masa ini, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.
Sumber : HARIAN METRO