Ikut Bapa Pergi Kerja! Dua Anak Kecil & Bapa Maut Selepas Treler Bawa Simen Terbabas

Share

Ternyata dugaan yang cukup berat untuk dihadapi oleh isteri, Shamsira Mohd Norizin, 31 apabila suami dan dua anaknya meninggal serentak.

Dalam satu kejadian malam tadi di KM 10, Jalan Lama Kota Bharu, Gopeng, treler yang dipandu arwah suaminya, Hafize Nizam Ali Supian, 30 yang dalam perjalanan dari Gopeng menuju ke Langkap dekat Teluk Intan terbabas sehingga mengakibatkan arwah dan dua anak lelakinya yang mengikut bapa mereka bekerja, Muhammad Afeef Rafiqie, sembilan tahun serta Arrian Nuh Nizam enam tahun turut menemui ajal di sisi sang bapa.



Raungan isteri, Shamshira Mohd Norizin, 31, selepas melihat mayat suami serta dua anaknya di Rumah Mayat Hospital, Kampar turut membuatkan ramai menitiskan air mata.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila treler yang dipandu mangsa dari arah Kota Bharu menghala ke arah Malim Nawar terbabas.






“Treler itu dipercayai terbabas di lorong kiri dan melanggar tiang elektrik dan juga besi penghadang jalan sebelah kiri jalan.

“Susulan itu ketiga-tiga mangsa tersepit dengan kecederaan parah dan maut di tempat kejadian,” katanya.

Superintendan Hasron berkata, pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng serta Kampar mengambil masa selama lima jam untuk mengeluarkan semua mangsa.

Ujar beliau, kes diklasifkasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta siasatan lanjut diteruskan.

Katanya, bedah siasat dijalankan di Unit Forensik Hospital Kampar bermula jam 5 hingga 7 pagi.

Published by
Almaswa Haji Che Ros