Kalau sebut nama Iman Fandi, mungkin segelintir rakyat Malaysia tidak kenal dengannya. Namun kalau disebut nama bapanya, Fandi Ahmad, pasti ramai yang kenal akan bekas pemain bola sepak lagenda Singapura itu. Iman merupakan anak perempuan tunggal Fandi Ahmad hasil perkongsian hidup bersama isterinya, Wendy Jacobs.
Gadis berusia 20 tahun ini merupakan seorang model, pelakon dan juga social media influencer yang cukup dikenali ramai di Singapura. Terbaru dia telah melancarkan single pertama yang bertajuk ‘Timeframe’ dan menariknya setiap baris lirik di dalam lagu tersebut adalah hasil ideanya sendiri.
Dalam temubual bersama Radio Ria 897, gadis tinggi lampai ini berkongsi, “Timeframe merupakan sebuah lagu yang menceritakan tentang kasih sayang jarak jauh. Rasa mahu bersama insan tersebut walaupun jarak memisahkan. Saya rasakan lagu ini sangat berkaitan dengan keadaan sekarang yang mana pandemik Covid-19 yang sedang melanda.
Saya tidak boleh berjumpa keluarga dan juga ahli keluarga yang berada di luar negara. Lagu ini telah ditulis pada tahun 2019 lagi dan telah melalui beberapa perubahan dan susunan sehinggalah terhasilnya lagu yang dipersembahkan.”
Diterbitkan oleh penerbit hip-hop Singapura Flightsch dan jurutera muzik John Hanes, Iman mahu ayah dan ibunya berbangga dengan kerjaya baru yang dia ceburi kini. “Muzik merupakan sesuatu yang akan membesar dan kekal bersama saya. Pastinya akan lebih banyak projek di masa akan datang. Saya mengimpikan untuk berkolaborasi bersama zara Larrson dan semestinya berada di mana-mana pentas sudah cukup untuk saya,” ujarnya kepada penyampai Radio Ria 897.
Sedikit latar belakang tentang gadis cantik ini, Iman merupakan anak ketiga dari lima beradik. Banyak menghiasi majalah-majalah ternama di Singapura dan berkolaborasi dengan jenama fesyen ternama, Iman seolah-olah mengikut jejak ibunya yang merupakan seorang model antarabangsa yang berasal dari Afrika Selatan.
Sumber: Facebook Radio Ria 897