Meskipun berdepan pelbagai cabaran, penyanyi popular, Aina Abdul nekad menjayakan konsert jelajah pertamanya ‘Aina Abdul Imaji Tour’ di tiga lokasi terpilih Disember ini.
Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani (31) berkata, segala cabaran yang dihadapi sehingga membuatkan beliau pernah hampir berputus asa, tidak akan mematahkan semangatnya untuk menggapai impian beliau itu.
“Saya tidak sangka akan ‘breakdown’ begini. Apabila sudah bertahun dalam industri, saya perasan dan belajar bahawa bukan mudah untuk membuat konsert di Malaysia, tetapi saya suka membuat persembahan”
“Jadi, saya beritahu pasukan saya, walau apa pun yang terjadi, Aina Abdul Entertainment tetap kekal di sini untuk menjayakan apa yang telah dirancang,” jelasnya dalam nada sebak, pada sidang media konsert jelajahnya baru-baru ini.
Tambahnya lagi, “Ini juga adalah impian saya kerana saya membesar dengan melihat idola-idola saya mengeluarkan album dan membuat persembahan atau konsert mereka sendiri. Jadi, saya juga mahu buat perkara sama demi kepuasan sendiri.”
Menurutnya, konsert jelajah yang diuruskan oleh Altus Prohouse itu juga merupakan sebahagian daripada usahanya memperkenalkan dan mengukuhkan lagi kedudukan album sulungnya ‘Imaji’ yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: “Walaupun Saya Nyanyi Lagu Bernada Tinggi, Tapi Jiwa Saya Sebenarnya Seperti Lagu Hasrat” -Aina Abdul
Dalam pada itu, demi menjayakan konsert tersebut di setiap lokasi, pemenang vokal terbaik Anugerah Juara Lagu ke-36 ini juga sanggup mengeluarkan dana sendiri bagi memastikan peminat dapat menikmati persembahan terbaik.
Walau bagaimanapun penyanyi yang dibesarkan di Seremban, Negeri Sembilan itu juga tidak akan menolak jika ada pihak yang mahu memberi tajaan bagi menjayakan jelajah berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: “Lagi Orang Cakap ‘Over’, Lagi Saya Akan Teruskan Kerana Itu Adalah DNA Saya…” -Aina Abdul
Konsert jelajah Aina Abdul Imaji Tour anjuran Aina Abdul Entertainment akan berlangsung di tiga lokasi berbeza, iaitu Arena Gemilang, DeTAR PUTRA di Universiti Malaysia Sarawak (14 Dis), Zepp Kuala Lumpur (27 Dis) dan Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia Sintok, Kedah (11 Jan 2025).
Tiket bagi persembahan di UUM dan Unimas dijual pada harga RM100 hingga RM180, manakala tiket konsert di Zepp Kuala Lumpur berharga RM288 hingga RM6,666. Turut tersedia tiket untuk Orang Kurang Upaya pada harga RM268. Tiket boleh didapati dalam talian di www.ticket2u.com.my bermula semalam.
ARTIKEL BERKAITAN: Gaya Disamakan Seperti Aina Abdul Dalam Gimme The Mic Malaysia, Berikut Fakta Menarik Shazreen Shaharum
Sumber: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.