Setelah bangkit pada minggu lalu, penyanyi dan penyampai radio Dina Nadzir terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pentas Gegar Vaganza 9 (GV9) pada episod separuh akhirnya.
Perjalanan Dina yang menemui titik noktah itu turut diiringi seorang lagi peserta, Fuad Rahman sekaligus menyaksikan penyingkiran berganda pada malam ini.
Ia juga bermakna pentas akhir GV9 pada minggu hadapan bakal menyaksikan pertarungan di antara Jaclyn Victor, Shila Amzah, Bob Yusof, Tomok, Hazrul Nizam dan kumpulan VE.
Rata-rata peminat bersedih setelah impian mereka untuk menyaksikan Jaclyn dan Dina di pentas akhir tidak kesampaian.
Rakan sepejuangan yang memulakan kerjaya nyanyian mereka daripada program realiti Malaysian Idol itu sentiasa saling menyokong perjalanan masing-masing di GV9 biarpun di atas kertas bergelar pesaing.
Dengan tema ‘Separuh Aku Ada Kamu’ pada malam ini, Dina telah menyampaikan lagu Bukan Dia Tapi Aku nyanyian asal Judika. Manakala Fuad pula membawakan lagu Di Alam Fana Cintamu nyanyian asal kumpulan Fotograf.
Terdahulu, Dina telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Juara Next Level Digi berdasarkan undian peminat dan membawa pulang wang tunai RM3,000. Bagaimanapun, kemenangan itu tidak cukup untuk membawanya mara selangkah lagi ke saingan akhir GV9.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.