Biarpun negara sedang sibuk mengfokuskan kepada kes positif COVID-19 yang semakin meningkat naik, mangsa banjir yang melanda beberapa buah daerah juga masih perlu diberi perhatian. Walaupun situasi banjir di beberapa buah negeri sudah kembali surut, namun rentetan daripada kesannya tempoh hari mengakibatkan banyak kerugian kerana rumah kediaman mereka musnah dinaiki air.
Justeru itu, finalis Hero Remaja 2020, Imran Aqil dan Jabir Meftah nampaknya tidak mahu duduk diam dan bertindak sebagai sukarelawan untuk membantu mereka yang ditimpa musibah ini. Imran menjalankan misinya di Temerloh, Pahang manakala Jabir pula bersama kelabnya, Youth Care Malaysia turut turun padang membantu mangsa banjir di Segamat, Johor.
Usaha murni yang dilakukan mereka membuka mata anak muda untuk terus terinspirasi bagi melakukan kerja-kerja kebajikan seperti ini, bukan hanya untuk mendapat ‘nama’ semata-mata, sebaliknya ia dilakukan demi tanggungjawab kepada masyarakat.
“Pada mulanya, kawan saya Syafiqah Rahman yang juga merupakan seorang instafamous mengajak saya ke Temerloh untuk membantu mereka sekeluarga menjalankan misi bantuan mangsa banjir. Memang boleh dikatakan setiap tahun keluarga mereka memberi bantuan kepada mangsa banjir dan kali ini saya berpeluang untuk menyertai mereka,”
“Jadi the next day tu saya terus ke balai polis untuk meminta kebenaran merentas negeri dan Alhamdulillah semua urusan dipermudahkan. Sebelum saya bergerak ke Temerloh, saya ada memuat naik IG Stories untuk meminta sumbangan berupa pakaian, kasut dan keperluan harian dan tak sangka sambutan yang diberikan sangat menggalakkan. Alhamdulillah, ada yang bagi rice cooker, cerek elekrtik, kasut berjenama pun ada,” jelas Imran.
“Bila saya dah kumpul semua barangan sumbangan yang diberikan, kami pun bertolak ke Temerloh. Tapi pada waktu tu hari pun dah nak malam jadi tugas kami hanya untuk mengasingkan barangan yang disumbangkan. Keesokan harinya, kami mengagihkan 100 pek nasi ayam daripada Nasi Ayam Kak Mala kepada penduduk setempat. Boleh dikatakan kawasan disitu terjejas teruk akibat banjir tempoh hari. Semua barang tidak lagi boleh digunakan. Kalau boleh pun macam barangan besi seperti periuk belangga yang boleh dicuci semula. Tapi, kalau tilam dan bantal memang dah tak boleh digunakan lagi,”
“Setiap rumah akan menyediakan satu tempat khas untuk meletakkan barangan yang sudah tidak boleh digunakan lagi. Kemudian, Alam Flora akan mengutip semua barangan tersebut untuk dibuang ke satu tempat khas,”
“Pada hari kedua, kami hanya dapat menghantar makanan kerana tanah lumpur di tempat yang kami kunjungi itu masih tinggi dan tidak boleh memasuki kawasan tersebut. Ada juga barangan yang disumbangkan kami beli sendiri seperti tilam TOTO, bantal, selimut, telekung, sejadah dan banyak lagi,”
“Antara kampung yang kami lawati adalah Kampung Kening, Kampung Batu Bor, Kampung Sekara, Kampung Baru, Kampung Huma Luas, Kampung Pesagi, Kampung Chenor Seberang, Kampung Tebing Tembah dan Kampung Nyak Kertau. Masa kami datang ke kawasan mereka, orang kampung sedang sibuk mengemas rumah masing-masing. Mereka menerima bantuan kami dengan menaiki sampan kerana keadaan air yang masih belum surut,”
“Situasi ini sangat menyedihkan dan satu peristiwa yang saya takkan lupa, bila kami sampai disebuah kawasan, saya terlihat seorang pakcik sedang solat diatas bumbung yang telah runtuh kerana hanya disitulah tempat yang selamat dan boleh solat kerana yang lainnya sudah dipenuhi air dan lumpur,” sambung Imran lagi.
Lain pula kisah misi bantuan Jabir Meftah di Segamat, Johor. Mereka tiba dilokasi pada hari Sabtu lalu dan misi ini mendapat kerjasama serta tajaan daripada Yayasan Food Bank Malaysia serta Enny Formula Sdn. Bhd. yang merupakan sebuah syarikat cyber security di Malaysia.
“Misi ini dilakukan selama dua hari disertai oleh beberapa volunteer. Kami tiba pada hari Sabtu dan menyerahkan makanan yang disumbangkan oleh Yayasan Food Bank Malaysia kepada orang kampung. Misi utama kami adalah untuk melawat rumah mangsa banjir bagi membantu mereka membersihkan kawasan kampung,”
“Pasukan kami melakukan gotong-royong seperti mengangkat sampah-sampah dan membersihkan rumah. Selain itu, sumbangan orang awam juga turut disalurkan dengan memberi bantuan seperti tuala wanita dan lampin pakai buang. Keperluan inilah sebenarnya yang mereka perlukan kerana bantuan makanan sudah banyak diterima,”
“Pengalaman kali ini juga sangat berbeza kerana sebuah kereta hanya dibenarkan untuk dua orang sahaja. Jadi, sebanyak lebih kurang 8 buah kereta yang menyertai misi bantuan ini. Kami juga terpaksa berhadapan dengan roadblock dan perlu meminta kebenaran untuk melakukan kerja-kerja amal ini. Masih ramai lagi mangsa ditempatkan di balai raya, sekolah mahu pun dewan serbaguna. Keadaan banjir memang sudah surut, namun kediaman mereka masih belum boleh didiami,” jelas Jabir Meftah.
Tahniah kami ucapkan kepada Imran dan Jabir kerana menjadi wakil anak muda dalam menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat. Semoga apa yang dilakukan mereka ini dapat memberi inspirasi untuk ramai lagi anak muda memberi bantuan tenaga kepada orang yang memerlukan.