Berita

Individu Boleh Dikenakan Hukuman Berat Jika Buat Jenayah Di Mekah & Madinah

Share

Apabila kita berada di tempat orang, memang sudah menjadi kewajiban untuk menghormati budaya dan mengikut peraturan serta undang-undang yang ditetapkan oleh tempat dimana kita berada.

Lebih-lebih lagi, jika tempat persinggahan itu merupakan tempat suci atau beribadah bagi agama masing-masing termasuk agama Islam yang sinonim dengan ibadah umrah dan haji yang sering dilakukan di Mekah serta Madinah.

Terbaru, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, setiap individu yang didapati bersalah melakukan jenayah di Mekah dan Madinah boleh dikenakan hukuman berat termasuk bunuh atau potong tangan.

Selain itu, pelaku tersebut juga tidak dibenarkan dibawa pulang ke negara asal selagi belum selesai menjalani hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah.

“Bentuk hukuman itu bergantung kepada jenis kesalahan. Kalau di Arab Saudi kesalahan bagi mencuri dikenakan hukuman potong tangan, maka kena potong tangan”

“Begitu juga bunuh. Kecuali jika mahkamah memberi kemaafan di atas sebab-sebab tertentu, (kalau tidak, perlu) terima hukuman itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada 6 November.

Dalam pada itu, jemaah dari Malaysia perlu tahu bahawa melakukan jenayah di luar negara terutamanya di kota suci Mekah sudah tentu kesannya adalah berdosa besar.

Ia kerana kawasan tersebut sepatutnya menjadi lokasi untuk umat Islam mendapat keberkatan dan mengumpul pahala berganda sebagai bekalan di akhirat kelak.

“Mereka yang melakukan jenayah, awal-awal lagi sudah berdosa besar. Dalam Al-Quran juga ada menyebut larangan, jangan membuat onar atau kejahatan di negara orang lain,” ujarnya lagi.

Bagi jenayah penyeludupan dan pengedaran dadah adalah salah satu daripada kesalahan yang boleh dijatuhi hukuman mati di Arab Saudi.

Menurut statistik AFP, jumlah keseluruhan hukuman mati yang dijalankan negara tersebut pada tahun 2024 membabitkan sekurang-kurangnya 106 pesalah dan tujuh daripada mereka yang menjalani hukuman mati adalah berkaitan kes dadah.

Sementara itu, pihak berkuasa Arab Saudi turut melaksanakan semula hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah pada penghujung 2022 selepas ia dihentikan hampir tiga tahun.

Sekadar info, sepanjang tahun 2023, hukuman mati telah dilaksanakan ke atas sekurang-kurangnya 170 orang, termasuk 33 individu yang dituduh melakukan jenayah berkaitan keganasan.

Sumber: Sinar Harian

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE