Kematian yang berlaku di luar negara memang sesuatu yang bukan mudah untuk dilalui oleh kaum keluarga kerana sudah pasti mereka mahu melihat jenazah buat kali terakhir dan dikebumikan di kampung halaman.
Kes-kes seperti ini banyak juga berlaku kerana ramai masyarakat kita berada di luar negara, tidak kiralah bagi tujuan bekerja, menyambung pelajaran atau pun melancong (suatu ketika dahulu).
Sememangnya kita tidak tahu bila ajal akan menjemput, ia akan berlaku pada bila-bila masa dan dimana sahaja. Bagi individu yang meninggal dunia di luar negara, kebanyakan daripada waris ingin membawa pulang jenazah bagi melakukan pengebumian disini.
Namun, kos yang diperlukan bukan calang-calang kerana ia mencapai hingga puluhan ribu ringgit, selain daripada prosedurnya yang agak rumit.
Menurut Skuad Pengurusan Jenazah – SPJ Malaysia, jenazah dari luar negara jika hendak dibawa pulang ke negara asal akan melalui satu proses yang menakutkan iaitu ‘embalming’ (pengawetan).
Proses ini memerlukan darah dalam badan dibuang keluar dan satu cecair bernama ‘formalin’ akan dimasukkan kebiasaannya dalam jumlah 12 liter.
Tidak hanya itu, perut jenazah akan ditebuk dan satu besi panjang lebih kurang 1 meter yang dinamakan sebagai ‘trocar’ akan dihunus menusuk ke perut untuk menghancurkan organ-organ dalaman badan jenazah, seperti hati, perut, jantung, limpa, usus dan lain-lain bagi tujuan membuang darah dalam organ dan semuanya akan disedut keluar.
Kaedah ini bagi mengelakkan mayat cepat mereput dan membusuk. Walaupun luaran jasadnya nampak elok sempurna, tetapi dalamnya sudah hancur sehancurnya.
Oleh yang demikian, pihak pengurusan SPJ Malaysia menegaskan bahawa jika kasihankan jenazah, biarlah jasadnya dikebumikan di tempat mereka meninggal dunia. Ia juga bertetapan dengan sunnah. Jangan diseksa jenazah lagi setelah dia melalui peritnya sakratulmaut.
Maka, sebaiknya jika berlaku kematian di luar negara, biarlah jenazah diuruskan pengebumiannya disana sekiranya diizinkan oleh negara tersebut. Permudahkan urusan jenazah dan kirimkan doa agar mereka ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.
Sumber: Skuad Pengurusan Jenazah – SPJ Malaysia