Belum pun reda dengan wabak pandemik COVID-19, negara jiran kita Indonesia khabarnya sedang bergolak apabila puluhan ribu orang melakukan protes terhadap undang-undang pelaburan baharu yang kontroversi.
Demonstrasi yang dilakukan itu bertujuan untuk membantah Undang-Undang Omnibus Law Cipta Kerja yang diluluskan Parlimen Indonesia pada Isnin lalu. Undang-undang berkaitan tenaga kerja itu didakwa mengabaikan hak pekerja, antaranya pengurangan kos pampasan terhadap pekerja yang diberhentikan, pengurangan cuti tahunan, pembatalan peraturan gaji minima dan pindaan berkaitan peraturan pekerja kontrak.
Di Jakarta, beribu penunjuk perasaan itu mengadakan perhimpunan di hadapan Istana Negara, di kawasan Bundaran HE dan kawasan Medan Merdeka di Jakarta, yang bertukar menjadi rusuhan selepas polis bertindak meleraikan perhimpunan itu dengan gas pemedih mata dan semburan air.
Penunjuk perasaan bertindak membakar pondok polis, merosakkan harta benda awam dan membaling objek batu serta ‘molotov coctail’ kepada anggota polis.
Hampir 1,000 individu ditahan kerana mencetuskan rusuhan dan merosakkan harta benda awam. Mereka yang ditahan bukannya mahasiswa atau golongan pekerja, tetapi mereka yang menganggur turut serta dalam demonstrasi itu yang kemudiannya sengaja mewujudkan kekacauan.
Indonesia juga menjadi trending di Twitter dan ramai yang berkongsi video rusuhan yang terjadi di negara tersebut.
Sama-samalah kita mendoakan agar negara jiran kita kembali bersatu dan semoga pergolakan ini dapat diselesaikan dengan baik.
Bersyukurlah kita menjadi rakyat Malaysia kerana sekurang-kurangnya, nasib kita masih terbela sepanjang pandemik tahun 2020 ini.
Sumber: Astro Awani