Bilangan remaja mengandung tanpa nikah yang direkodkan di Malaysia mencecah lebih 500,000 orang. Dianggarkan secara purata, 4,000 remaja perempuan hamil bawah 18 tahun dilaporkan setiap tahun berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan Malaysia.
Memetik statistik berkenaan, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata dari tahun 2012 hingga 2016, sebanyak 79,302 kes remaja perempuan hamil bawah 18 tahun telah dilaporkan.
Ternyata hanyut dengan cinta antara punca budaya membimbangkan ini begitu berleluasa.
Hal yang sama, dikongsikan oleh Mak Liza yang juga pengasas rumah Baitus Solehah yang dari dahulu banyak menyelamatkan gadis-gadis muda yang hamil tanpa nikah. Baru ini beliau berkongsi kisah graduan universiti yang tidak mengetahui dirinya hamil sebaliknya menyangka ada kanser dalam perut seperti dikongsi dalam fbnya, Baitus Solehah.
Umur 23 tahun, baru menghadiri majlis konvokesyen bersama emak dan ayah. Kegembiraan emak ayah selepas anak diijazahkan telah bertukar kepada duka dan kecewa apabila mendapati anak telah disahkan mengandung tanpa suami.
Mulanya anak menyangka perutnya ada ketumbuhan, mungkin kanser yang ganas kerana bergerak gerak. Temu janji dengan doktor untuk pemeriksaan tyroid telah membawa kepada pengesanan ada janin dalam rahim. Yang mengejutkan janin ini telah pun berusia 34 minggu!
Dia tidak menyangka telah mengandung kerana tidak mengalami sebarang alahan. Sepanjang semester akhir dapat belajar dan membuat penulisan tanpa gangguan kesihatan.
ARTIKEL LAIN : Gadis 15 Tahun Mengandung Gara-Gara Phone Seks, Jururawat Ini Dedah Ramai Remaja Hamil Luar Nikah
Imbas semula apa yang berlaku 8 bulan yang lalu, dia telah menjalani latihan industri di sebuah resort. Latihan industri yang berkaitan dengan kursus yang dipelajari semasa di universiti. Pujuk rayu teman lelaki telah memakan diri walaupun awalnya tidak rela.
Tambahan peluang sentiasa terbuka apabila sama berada di tempat yang sama berminggu minggu, jauh dari emak ayah, jauh dari teman teman sekolej yang boleh menegur dan mengingatkan sekiranya berlaku perlanggaran syariat. Dan peluang yang sentiasa terbuka menjebak diri. Keterlanjuran telah membuat harapan emak ayah musnah dan kecewa.
Anak sulung di dalam keluarga sederhana, ayah cuma seorang pemandu lori dan emak bekerja sebagai kerani. Mereka mendambakan anak yang membahagiakan, menaikan taraf kehidupan keluarga, tapi lain jadinya. Mereka membina kekuatan untuk menghantar anak ke Baitus Solehah walaupun sudah memiliki segulung ijazah.
Pesanan kepada anak anak, usahlah mudah terpedaya dengan pujukan lelaki. Lelaki memang siftanya memujuk kerana mahu benda free. Bersabarlah. Suruhlah mereka bayar mahar dulu sebelum menerima ajakan bersetubuh. Nanti membuat emak ayah kecewa.
Kecewa mereka tak nampak di mata. Hati mereka bagai dirobek sembilu. Ditikam berkali kali. Sebagai emak ayah , walau apa jadi pada anak, mereka tetap tabah, positif dan terima . Tidak sekali kali mereka membuang anak mereka.
Dalam luka berdarah pun, mereka tetap bangkit dan menghantar anak mereka agar aib terpelihara. Harapan mereka anak bertaubat nasuha, membina jati diri lebih kuat agar dapat meneruskan kehidupan di jalan yang Allah redha.
Opah Cucu Seribu,
Mak Liza