Beberapa hari ini tular di media sosial perkongsian kisah penderaan seorang kanak-kanak OKU berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella. Kes ini sedang disiasat oleh pihak polis dan ramai masyarakat Malaysia menuntut bela untuk anak istimewa yang tidak berdosa ini.
Pusat perlindungan kebajikan Rumah Bonda yang membela adik Bella telah pun disita kerana didapati tidak berdaftar dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Selain Bella, sebenarnya ada banyak lagi kes-kes penderaan yang agak tragis berlaku kepada golongan kanak-kanak. Ada pelakunya terdiri dari ibu kandung, bapa kandung, bapa tiri, kekasih ibu, bapa saudara dan ramai lagi golongan dewasa yang sepatutnya melindungi anak-anak kecil ini.
Berikut kami senaraikan kes-kes penderaan agak tragis yang pernah terjadi dalam sejarah penderaan di Malaysia.
Kes kematian Syafiah Humairah Sahari, 3 tahun yang berlaku 5 Mac 2010, dianggap kes penderaan yang menyakitkan hati rakyat Malaysia. Mana tidaknya, allahyarham pernah ditendang di bahagian perut di tepi sebuah padang bola di Kuala Kubu Bharu, Kuala Selangor namun ramai yang menjadi pemerhati dari membantu.
Lebih menyakitkan hati, perbuatan dera ini dilakukan oleh kekasih kepada ibu mangsa yang mana dalam satu kenyataan selepas kejadian ini terjadi, ibu mangsa mendakwa masih menyayangi kekasihnya itu biar apa pun yang terjadi.
Kanak-kanak malang ini ditemui maut akibat pendarahan pada otak, mengalami kerosakan buah pinggang, dihentak dan ditendang dengan kuat termasuk kulit kepalanya terkoyak akibat dipijak. Keseluruhan tubuhnya turut lebam akibat sentiasa didera.
Nur Khayra Mohamad Amirul Asnil, 6 bulan antara mangsa dera terbaru yang terjadi selepas kes Nur Aina Nabihah. Bayi kecil tidak berdosa ini pada awalnya dimaklumkan terjatuh dari buaian oleh ibu bapanya tetapi imbasan menunjukkan ada pendarahan pada otaknya serta bahagian mata. Namun kematiannya menunjukkan terjadinya pukulan dengan benda tumpul di kepala.
Ibu bapa mangsa berusia 19 dan 21 tahun dan hasil siasat polis mendapati lelaki yang bekerja sebagai pengusaha kantin itu mempunyai satu rekod lampau mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki kenderaan curi. Kes penderaan ini disiasat menurut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
73 kesan lebam dan luka yang ada ditubuh Nordiana Qistina Nurafizan, 3 tahun menjadi punca kepada kematiannya dalam kejadian di Kampung Sungai Tiram, Johor Bharu 10 Januari lalu. Bukan hanya Nordiana Qistina, malah adiknya, Danish Irsyad, 1 tahun turut menjadi mangsa kekejaman dipercayai dilakukan oleh ibu tirinya.
Mangsa merupakan anak kedua daripada tiga beradik dan tinggal bersama bapanya, Nurafizan Ludin, 29, seorang pekerja kilang manakala ibu tirinya pula seorang suri rumah. Ibu kandung mangsa, Nor Aquilla Razali, 27, menetap di Pasir Gudang dan bercerai dengan Norafizan sejak setahun lalu.
“Melalui bedah siasat, organ dalaman mangsa rosak teruk dan berdarah. Awalnya ibu mangsa dimaklumkan lemas ketika mandi dalam besen tetapi ternyata ia berita diada-adakan untuk menutup perbuatan keji.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal selepas didera oleh ibu kandungnya sendiri dalam satu kejadian di Kulai, Johor. Awalnya, mangsa dihantar ibunya ke hospital Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim pada jam 7.30 malam tadi dalam keadaan tidak bernafas.
Bagaimana pun pemeriksaan doktor mendapati terdapat pendarahan di kedua-dua telinga mangsa, selain kesan lebam di bahagian kepala sebelah kiri, belakang badan dan takungan air di kerongkong. Ibunya yang bekerja sebagai juruwang di sebuah pasaraya berusia 18 tahun telah ditahan polis dan dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Seorang kanak-kanak, Muhammad Faiz Iqhmal Iskandar, 2, mati akibat didera teman lelaki ibunya. Mangsa dipercayai meninggal dunia jam 3 petang ketika berada dalam jagaan ibunya di rumah mereka di Kampung Berjaya, Mergong, dekat sini, semalam.
Mangsa maut dan terdapat beberapa kesan gigitan dan lebam di badan Muhammad Faiz yang dipercayai dilakukan lelaki terbabit. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan V Saravanan berkata, pihaknya mendapati ada beberapa kesan kecederaan termasuk lebam di muka, bahu dan tangan mangsa.
Muhammad Al Fateh Abdullah, 21 bulan (setahun sembilan bulan) menjadi mangsa kerakusan manusia apabila mati didera oleh ibu bapa angkatnya yang berusia 30 dan 34 tahun.
Pasangan suami isteri ini mempunyai 8 orang anak. Terdapat kesan kecederaan lama dan baharu seperti lecur pada tubuhnya. Doktor juga mengesahkan mangsa pernah dirawat akibat menghidap tibi dan retak pada lengan kanan.
Mangsa, Mohd Adam Osi, 5 maut bila didera oleh kekasih kepada ibunya yang berasal dari Nigeria. Mangsa meninggal akibat pendarahan dalam otaknya dipercayai dipukul dengan objek keras oleh kekasih ibunya itu.
Nenek mangsa siap membuat rayuan agar tidak terus memburukkan anaknya itu kerana katanya anaknya berusia 28 tahun itu begitu tertekan selepas berita itu tersebar. Kata nenek mangsa, anak saya memang sangat sayang ketiga-tiga anaknya. Paling teruk pun dia hanya meninggikan suara kalau mereka terlalu nakal.
Inilah sebahagian daripada kes dera yang sangat menyayat hati terjadi kepada anak-anak kecil. Apa yang boleh kita lakukan dalam hal ini adalah berani untuk menegur, bertindak melaporkan jika kita sering terdengar tangisan luar biasa seorang kanak-kanak. Gunakan konsep ‘hal kau hal aku’ kerana dengan sikap ini boleh menyelamatkan mangsa yang tidak berdosa.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ada menyediakan talian NUR 15999 untuk sebarang kes aduan dan bolehlah kita sama-sama membantu apa yang diperlukan untuk menjadi sebahagian masyarakat yang prihatin.