Setelah Aween Ismail dari Dewi Remaja 2018/2019 dan Nina Amin dari Dewi Remaja 2019, kini tiba giliran pemilik gelaran Dewi Inspirasi yang baharu bagi edisi 2022.
Tahniah diucapkan kepada Keeran Praval, 25 yang telahpun dinobatkan sebagai Dewi Inspirasi pada malam kemuncak Dewi Remaja 2022, Sabtu lalu.
Menyifatkan kemenangan tersebut langsung tidak pernah terlintas di fikirannya memandangkan ramai finalis lain yang turut layak untuk diberikan gelaran tersebut, Keeran sewaktu ditemui merasakan gelaran ‘inspirasi’ itu sendiri adalah satu tanggungjawab berat yang perlu dipikulnya selepas ini.
“Tidak pernah terfikir pun untuk memenangi gelaran Dewi Inspirasi ini. Niat saya datang pada malam ini (Sabtu lalu) hanyalah untuk enjoy the show. Ini juga adalah malam terakhir untuk saya bertemu dengan 15 rakan-rakan saya yang lain.
“Namun biila diberikan kepercayaan oleh pihak produksi dan team Dewi Remaja 2022 untuk menggalas gelaran Dewi Inspirasi, tentunya saya merasa bertuah dan sangat-sangat berbangga kerana bagi saya, ini bukanlah gelaran yang biasa-biasa.
“Berat tanggungjawabnya dan saya akan cuba sebaik mungkin untuk membawanya,” kata Keeran yang berasal dari Cameron Highlands, Pahang.
Perjalanan Keeran dalam pencarian Dewi Remaja 2022 terhenti di episod separuh akhir apabila dia akur, prestasi sepuluh orang rakannya dalam cabaran pementasan teater pada waktu itu lebih memberikan warna berbanding dirinya yang membawakan watak primadona. Begitupun, Keeran tidak sesekali berhenti memberikan komitmen dalam setiap sesuatu yang dilakukan dan dirinya juga disenangi oleh rakan-rakan finalis yang lain.
“Inspirasi itu bagi saya adalah pemilikan nilai-nilai positif di dalam diri yang perlu saya gunakan untuk dijadikan contoh kepada masyarakat di luar sana terutamanya remaja yang lebih muda daripada kami.
“Usia saya yang lebih matang daripada 15 finalis lain mungkin menjadikan saya lebih tenang dalam berdepan apa saja cabaran yang melanda sepanjang empat bulan ini. Jadi bila saya perlu membuat sesuatu keputusan, saya akan cuba sebaik mungkin untuk tidak membuat apa-apa keputusan yang tidak berasas,” katanya.
Tanpa Pengalaman Industri, Keeran Tetap Yakin
Bercakap mengenai perancangannya selepas ini, graduan Sarjana Muda Keusahawanan & Inovasi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia ini membulatkan misinya untuk menapak dalam industri seni hiburan tanah air.
Biarpun dirinya boleh dianggap masih hijau tanpa berbekalkan pengalaman industri sebelum ini baik dalam bidang lakonan atau pengacaraan, Keeran tetap yakin potensi serta bakat yang dimilikinya boleh diasah untuk pergi jauh.
“Saya ingin kembangkan sayap saya seluas-luasnya dalam industri ini dan akan mengambil mana-mana peluang yang hadir untuk saya.
“Tambahan pul; Tracie, Malle dan saya sedang merancang untuk menetap bersama selepas ini di Kuala Lumpur dan akan terus menembus masuk ke dalam industri.
“Ya, perlahan-lahan chemistry di antara kami bertiga bertambah erat selepas menetap serumah sepanjang pencarian. Kami juga mudah sekepala dalam cara membawa diri. Jadi saya selesa dengan Malle dan Tracie,” ujarnya.
Tahniah Keeran Praval!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.