Sempena perasmian sambutan Ma’al Hijrah peringkat negeri Pahang tahun 2021,/1443H pada hari ini, Pemangku Raja Pahang iaitu Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar para pemimpin negara ini untuk berhenti merebut kuasa dan bersengketa sesama sendiri di saat Malaysia sedang bergelut dengan penularan wabak COVID-19.
Titah secara maya dari Istana Abdulaziz itu telah disiarkan secara langsung di Dewan Auditorium Kolej Universiti Yayasan Pahang dan disaksikan oleh para tetamu yang antaranya terdiri daripada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Pesanan Tengku Hassanal itu relevan apabila melihat kepada suhu permainan politik yang semakin membara baru-baru ini baik dari bahagian kerajaan mahupun pihak pembangkang. Titah baginda, ini adalah masa untuk semua pihak bersatu padu tanpa mengira kepercayaan agama, warna kulit dan fahaman politik serta terus mengamalkan sikap saling menolong.
“Ini bukanlah masanya untuk merebut kuasa, bersengketa mahupun banyak berbicara tanpa berbuat apa-apa tindakan. Kita harus menang dalam peperangan dengan musuh yang tidak kelihatan ini (wabak covid-19).”
Tambah baginda, semangat kejiranan yang tinggi juga harus dipertingkatkan pada waktu ini. Apatah lagi apabila sanak-saudara yang kini berkhidmat di ibu negara tidak mampu pulang dan menziarahi kampung halaman masing-masing. Lantas sebagai jiran tetangga, seharusnya kita saling menolong dan prihatin terhadap mereka yang tinggal berdekatan.
“Pepatah jangan jaga tepi kain orang mungkin tidak lagi relevan.”
“Saya nasihatkan agar kita semua sentiasa prihatin kepada jiran masing-masing dan berikan bantuan bersesuaian kepada yang memerlukan.”
Baginda juga menyeru agar semua pihak termasuk kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta untuk sentiasa cakna terhadap rakyat yang memerlukan bantuan ketika pandemik COVID-19. Ini termasuklah bahagian akar umbi penduduk seperti jawatankuasa masjid dan surau untuk teruskan bantuan kepada yang memerlukan.
“Saya tidak mahu ada rakyat saya yang berada dalam kelaparan kerana tidak mempunyai makanan serta keperluan asas untuk meneruskan kehidupan. Satu bakul makanan yang berharga lebih kurang RM100 mungkin kecil pada kita, tetapi pada mereka yang susah, ia amat besar nilainya,” titah baginda.
Diharap apabila umat Islam memasuki tahun baharu dalam kalendar Islam pada hari ini, semangat perjuangan kita juga haruslah berubah menjadi lebih positif. Jangan disebabkan ingin menjamin kuasa dan kepentingan peribadi serta parti masing-masing, kepayahan rakyat dipinggirkan begitu saja. Ikhlaskanlah hati dalam menjalankan tugas.
Sumber : BERNAMA