Kalau ada di antara peminat filem Ada Apa Dengan Cinta (AADC) dan AADC 2 masih tak puas dengan pengakhiran jalan cerita filem tersebut 2 tahun lepas, well, ada berita gembira untuk korang!
Starvision dan Miles Films Indonesia baru-baru ini mengumumkan, filem sequel kepada AADC 2 akan menemui penonton di pawagam pada bulan Disember tahun ini. Namun pada kali ini, ada sedikit twist pada jalan ceritanya.
Jika dahulu, Rangga dan Cinta menjadi peneraju utama dan jalan cerita AADC berkisar daripada hubungan cinta mereka. Kali ini, watak sampingan Milly dan Mamet pula yang akan menjadi peneraju utama!
O M G.
Walaupun Milly dan Mamet hanyalah watak sampingan dalam dua filem terdahulu, penampilan mereka berbekas dalam ingatan semua orang disebabkan oleh gelagat mereka. Sudah tiba masa Milly dan Mamet diberikan spotlight seperti ini.
Ramai yang mengagak ia akan menjadi sebuah filem bergenre komedi kerana kehadiran Sissy Prescillia (Milly) dan Dennis Adhiswara (Mamet).
Namun, ada sesuatu mengenai filem ini yang membuatkan penulis merasakan ia tidak akan dipenuhi dengan gelak tawa dari awal sehingga penghujung walaupun ia mengenai Milly dan Mamet.
Iyalah, mana ada kehidupan yang tidak mempunyai rasa sedih dan perasaan down. Mungkin melalui filem ini, penonton dapat menyaksikan kehidupan sebenar karakter Milly dan Mamet.
Buat masa ini, kita hanya mengetahui tentang filem tersebut melalui pengarahnya, Ernest Prakasa. Dalam sebuah posting di akaun Instagram-nya, dia berterima kasih kerana diberikan kepercayaan untuk mengendalikan filem tersebut.
“Saya bersyukur, untuk filem keempat saya ini, saya diberi kesempatan untuk sekali lagi mencuba sesuatu yang baru iaitu filem berbentuk spin-off. Lagi-lagi, ia diambil dari salah satu karya fenomena dalam sejarah layar perak Indonesia.
“Terima kasih Mirles dan Rizariri, I promise to give everything I have.”
Tak sabarnya nak tunggu bulan Disember ini! Agak-agak, karakter AADC 2 yang lain turut serta atau tidak di dalam filem ini?