Ini DOA Perlu Dibaca Jika Jiwa Kita Lesu & Hilang Semangat Dalam Ibadah

Share

Ada ketika kita rasa malas untuk beribadah. Terutama bila dah habis Ramadan. Perkongsian dari Dr Ahmad Sanusi mengenai doa yang perlu kita baca ada kelesuan dan hilang semangat dalam ibadah.

1. Dalam sebuah hadis, Rasulullah pernah mengingatkan kepada kita bahawa akan ada satu ketika, manusia berasa lemah dan lesu setelah lama mengabdikan diri kepada Allah. Semangat mereka semakin pudar sekalipun telah lama beribadah kepada Allah. Ia seakan kelesuan yang berlaku setelah Ramadan. Dalam sabdanya, Rasulullah mengingatkan kita:

إنَّ لِكُلِّ عملٍ شِرَّةً ، ولِكُلِّ شِرَّةٍ فترة ، فمنْ كان فترتُهُ إلى سنتي فقدِ اهتدى، ومَنْ كانَتْ إِلى غيرِ ذَلِكَ فقدْ هَلَكَ

“Sesungguhnya setiap amalan ada waktu shirrah (kuat keinginan dan bertenaga), dan setiap waktu shirrah ada waktu fatrah (lemah dan lesu). Maka, barangsiapa yang dalam tempoh lesu amalannya itu dia masih kekal dalam sunnahku, maka dia berada di atas petunjuk, dan sesiapa yang dalam tempoh lesunya itu mengikut (melakukan) selain (sunnah) itu, maka dia akan binasa.” (HR Ahmad, dinilai Sahih oleh al-Arna’ut)

2. Perhatikan disini bagaimana Rasulullah memahami tabiat jiwa manusia. Renungkan kembali bagaimana kesungguhan dan tenaga manusia beribadah dalam bulan Ramadan. Solat sunat dan puasa mereka dilakukan dengan konsisten. Namun, setelah berlalunya Ramadan, semangat itu semakin pudar dan kelesuan menyelubungi jiwa.

3. Titik kelesuan inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah dalam hadis. Lalu Rasulullah berpesan agar kita kekal dalam sunnahnya dan jangan melakukan dosa atau maksiat yang bercanggah dengan Islam. Jangan pula seusai Ramadan, manusia kembali kepada maksiat.


4. Dalam menghadapi situasi ini, Saidina Ali pernah berpesan:
إن النفس لها إقبال وإدبار، فإذا أقبلت فخذها بالعزيمة والعبادة، وإذا أدبرت فأقصرها على الفرائض والواجبات
“Sesungguhnya jiwa manusia ini bersifat bolak-balik (sekejap menghadap ke hadapan, seketika menghadap ke belakang). Maka ketika jiwa menghadap ke hadapan (iaitu sedang bertenaga), maka ambillah peluang ini dengan penuh kesungguhan dan beribadah (azimah). Namun sekiranya jiwa mula lesu, maka kekal dan kukuhlah atas amalan yang fardu dan wajib (jangan sampai tinggal perkara yang wajib).

5. Begitu juga dari aspek dakwah. Adakalanya jiwa manusia bersemangat mengajak dan menyeru kepada kebaikan. Namun akan datang satu tempoh (futur) dimana mereka merasa penat dalam perjuangan ini.

6. Maka tempoh kelesuan ini amalkanlah doa yang pernah dipatrikan oleh Allah dalam al-Quran:


رَبَّنَا لا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ
“"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau beri hidayah petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.”
Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Published by
Almaswa Haji Che Ros