“Ini Isteri Saya, Kenalkan.. Elyia” Tulang Belakang Ryan Bakery Dari Susah Hingga Bergelar Pemenang

Share

Tidak sah sekiranya setiap video yang dimuat naik oleh pempengaruh media sosial, Ryan Bakery ke akaun TikTok miliknya tidak mencecah jutaan tontonan.

Begitupun, kejayaan yang diraih olehnya kini tidak datang bergolek dalam sekelip mata.

Tatkala menemui pemberita selepas menggenggam trofi bagi kategori Digital Content Creator Tergempak di acara Gempak Most Wanted Awards 2022 di Shah Alam malam tadi, pemilik nama penuh Muhammad Ryan Fahmi Bakery mendedahkan bahawa dia pernah berada di takuk bawah kehidupan sehingga perlu menggunakan nama isterinya, Elyia Ibrahim demi membuat pinjaman bagi membeli kereta.

“Ini isteri saya, kenalkan. Elyia..” kata Ryan tersipu apabila ditanya mengenai keberadaan seorang wanita berhijab di sebelahnya sepanjang malam.

“Dulu tahap susah saya, sampai guna nama isteri untuk buat pinjaman beli kereta yang kami guna pada hari ini. Sekarang, saya pula yang sambung bayar,” dedahnya.

Ryan turut berkongsi bahawa peralatan yang kini digunakan olehnya bagi menghasilkan pelbagai kandungan digital tular adalah hasil pengorbanan isterinya yang percayai impian dan potensi yang dimiliki olehnya sehingga sanggup melabur ribuan Ringgit. Ini semua berlaku setelah Ryan diberhentikan kerja oleh majikan dan memulakan perniagaan popiah.

“Kalau nak cerita dari awal, memang sedih. Niat saya nak buat video sebab iyalah, nak jana pendapatan. Orang yang hanya percayakan apa saya buat, dia (Elyia). Dia ada.

“Dialah yang banyak melabur untuk saya walaupun pada waktu itu belum bergelar isteri (Ryan). Saya cakap hendak pakai greenscreen, dia keluar duit. Saya cakap hendak pakai gimbal dan hendak pakai lampu studio, dia keluar modal.

“Dia tetap percaya apa yang saya buat walaupun saya pun berulang kali tidak percaya dengan apa yang saya buat.

“Walaupun gajinya tidaklah sebesar mana, dia sanggup keluarkan duit untuk beli keperluan untuk saya membuat video. Jadi, salah satu sebab saya berada di sini adalah kerana dia” kata Ryan.

Selama ini, hanya pasangan suami isteri itu sahaja yang tahu penat lelah yang terpaksa mereka harungi untuk sampai ke tahap ini. Disebabkan itulah, Ryan sedikit terkesan sekiranya ada yang menuduh Elyia menumpang populariti suaminya itu menerusi video-videonya.

“Usaha dialah yang menjadi salah satu sebab saya berjaya. Sebagai tanda penghargaan, saya halalkan hubungan kami secepat mungkin dan akan membawa dia ke mana-mana sahaja saya pergi.”

Kata-kata Ryan ini adalah benar sementelah REMAJA sendiri selalu mendapati Eylia menemani Ryan sekiranya pempengaruh itu mendapat jemputan ke mana-mana acara setelah mereka bergelar suami isteri yang sah sejak Oktober 2022.

Dalam pada itu, Elyia ketika ditanya mengenai perasaannya setelah melihat kejayaan suaminya yang dinobatkan sebagai pemenang GMWA 2022 merasa sebak dan berkata, “Kami belajar dan bekerja sama-sama. Apabila dia dibuang kerja, takkan nak tinggalkan dia. Saya akan tetap sokong dia.”

Pasangan ini memang menginspirasikan! Macam inilah baru pempengaruh sebenar.

ARTIKEL BERKAITAN: Jualan Sambal Nyet Cecah RM 21.5 Juta, Khairul Aming Antara Usahawan Muda Inspirasi Ramai – REMAJA

BACA LAGI: ‘Otak Bisnes’ Selepas Tamat SPM, Ini 5 Fakta Kejayaan Pengasas Bulan Bintang – REMAJA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ