Solat Jangan ‘Nak Cepat’ Je, Bacaan Dalam Solat Rupanya Begitu Indah

Share

 

Seperti yang diketui oleh semua umat Islam, solat merupakan ibadah yang diwajibkan ke atas semua yang telah akil baligh, masih waras dan tidak mengalami apa-apa keuzuran yang dibenarkan dalam agama.

Sempena bulan Ramadan al-Mubarak ini, lebih banyak ibadah solat sunat yang dilakukan saban hari hingga ke waktu Qiamuallail di tengah malam. Begitupun, ramai yang sukar untuk mencari rasa khusyuk kepada menunaikannya.

Ini berikutan rasa tergesa-gesa semasa menunaikan solat, solat di akhir waktu malah suka menggabungkan dua waktu solat sebelah-menyebelah bagi ‘memudahkan’ urusan harian yang lain.

Rasa khusyuk itu sebenarnya boleh dicapai dengan banyak cara. Salah satunya adalah dengan mengenali makna di sebalik setiap patah perkataan yang kita baca ketika solat.

Solat berpuluh tahun, setiap hari hingga ke lima waktu minimum. Tak kanlah kita enggan mengetahui apa maksudnya dalam bahasa Melayu.

Betul tak?

Jom kita lihat maksud yang cukup indah untuk kita renungkan dan fahamkan di sebalik setiap ayat yang dilafazkan.

 

Takbiratul-Ihram

Allah Maha Besar

 

Doa Iftitah

Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya.

Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik.

Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.

 

Al-Fatihah

Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.

Yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan.

Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat

 

Rukuk

Maha Suci TuhanKu Yang Maha Besar dan dengan segala puji-pujiannya.

 

I’tidal

Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

Wahai Tuhan kami bagi Engkaulah segala pujian.

 

Sujud

Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

 

Duduk di antara Dua Sujud

Ya Allah, ampunilah dosaku dan rahmatilah daku, lindungilah daku, angkatlah darjatku, rezekikan daku, berilah aku petunjuk, selamatkanlah daku dan maafkanlah akan daku.

 

Tahiyat Awal

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.

Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh.

Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

 

Tahiyat Akhir

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.

Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh.

Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim.

Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam ala m ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

*

Jom jadikan Ramadan pada tahun ini sebagai waktu terbaik bagi memperkasakan ibadah harian kita.

ARTIKEL BERKAITAN :

Published by
FZ