Berbaki kira-kira sebulan sebelum pentas akhir Miss Grand International 2022 dilangsungkan, rata-rata wakil negara yang bakal bertanding sedang giat melakukan persediaan sebelum berlepas ke destinasi pertandingan, Indonesia.
Miss Grand International 2022 yang juga menyambut ulang tahun kesepuluh penganjurannya pada edisi kali ini akan mengambil tempat di dua buah lokasi berbeza. Para peserta akan berada di pulau pelancongan terkenal, Bali terlebih dahulu bagi mengikuti aktviti-aktiviti pra pertandingan sebelum beralih ke ibu negara, Jakarta pula bagi pentas akhir.
Tidak ketinggalan merasai keterujaan untuk membawa nama negaranya di peringkat antarabangsa ialah wakil Malaysia ke Miss Grand International 2022, Charissa Chong Su Huey.
Si tinggi lampai ini sememangnya bukanlah nama baharu dalam dunia ratu cantik di Malaysia setelah dirinya pernah mewakili negara ke beberapa buat pertandingan ratu cantik antarabangsa sebelum ini. Biarpun tidak menjuarainya, semangat dan iltizam yang dipegang oleh Charissa wajar dipuji.
ARTIKEL BERKAITAN : Dinobat Sebagai Miss Grand Malaysia 2022, Graduan Komunikasi Massa Ini Lambang Individu Tak Pernah Mengalah – REMAJA
Sebagai Miss Grand Malaysia 2022, Charissa tidak memegang gelaran dan amanah itu dengan sewenang-wenangnya. Menerusi hantaran di media sosial bagi berkongsi perkembangan terkini berkenaan persediaannya sebelum ke Indonesia, Charissa giat menjalani penggambaran foto dan video menarik sejak Ogos lalu semasa dia dimahkotakan di Sabah.
Terbaru, Charissa telah berkongsi foto baharu yang memperlihatkannya anggun dalam persalinan tradisional yang diinspirasikan daripada kekayaan budaya pulau Bali, Indonesia serta agama Hindu yang merupakan agama dominan di kepulauan itu.
“Hanya beberapa hari saja menjelang Miss Grand International dan saya tidak sabar untuk mengalami Bali sepenuhnya. Ini adalah kali pertama saya bakal ke Indonesia dan saya teruja untuk belajar dan melihat keindahan budaya serta masyarakat di sana.
“Sampai jumpa nanti Indonesia!” catatnya pada bahagian kapsyen. Hantaran tersebut telah mendapat pujian ramai setelah tiga jam dimuat naik.
Bagaimanapun, tidak kurang juga yang menyatakan bahawa busana Charissa ini bukanlah pakaian tradisi masyarakat Bali.
Demi memastikan tiada individu yang tersalah dalam interpretasi mereka terhadap foto-foto bidikan Auris Faqrurazzi itu, Charissa mengambil inisiatif untuk menjelaskan bahawa busana itu hanyalah suatu inspirasi berkonsep sahaja dan bukanlah 100 peratus gambaran kostum Bali sebenar.
“Ini menginspirasi aja.. gak seratus persen karena keterbatasan aksesori ma busana nya.
“Karena budaya dan busana Bali itu tinggi banget nilai estetiknya. Lots of love as I have utmost respect for Indonesia,” katanya.
Dengan kerancakan persediaan oleh Charissa kali ini, tidak sabar pula rasanya untuk melihat gaya-gaya fesyen yang akan dipersembahkan oleh gadis yang berasal di Subang Jaya, Selangor sepanjang bulan pertandingan Miss Grand International 2022.
BACA LAGI : Tidak Ada Sesi Baju Renang, Indonesia Jadi Tuan Rumah Miss Grand International 2022 – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
”.