
Baru-baru ini, seorang lelaki yang bernama Ikhwan Khaleb telah mencuri perhatian warga internet apabila beliau berkongsi kisah perjalanan kerjayanya dalam bidang nuklear di media sosial bermula dari minatnya sejak kecil, terlibat dalam reka bentuk reaktor nuklear, sehinggalah kepada impiannya untuk membawa segala ilmu yang telah dipelajari demi masa depan negara.
Menerusi akaun Tiktok miliknya @nucleartuclear, Ikhwan berkongsi beliau mula meminati bidang nuklear kerana teruja menonton rancangan di Discovery Channel dan rancangan seorang saintis yang berasal dari Amerika Syarikat iaitu Michio Kaku.

“Sejak kecil, saya tertarik dengan nuklear. Saya membesar dengan menonton Discovery Channel dan Michio Kaku. Saya sentiasa terpaku dan terpesona setiap kali beliau bercakap tentang tenaga nuklear,” tulisnya menerusi perkongsian di Tiktok.
Walaupun pada awalnya, bapanya tidak bersetuju dengan pilihan tersebut disebabkan bimbang tentang ketidakstabilan industri nuklear, Ikhwan tetap berpegang teguh kepada impiannya.
Dari Malaysia Ke Amerika Syarikat
Menurut Ikhwan, selepas menamatkan peperiksaan SPM, beliau menerima tajaan untuk melanjutkan pengajian di Penn State University, Amerika Syarikat dalam jurusan kejuruteraan nuklear dan mekanikal.
“Ambil nuklear sebab minat, mekanikal sebagai ‘backup’ kalau tiada kerja. Memang susah ambil dua ijazah serentak. Jujur saya tak ada ‘life’ tapi nasib baik minat dan ada kawan yang satu kepala,” jelasnya.

Namun, beberapa bulan sebelum pemuda ini bergraduasi pada tahun 2018, Ikhwan mula reda jika tiada peluang kerja kerana pada ketika itu kerajaan Malaysia telah membubarkan Malaysia Nuclear Power Corporation (MNPC) dan membatalkan rancangan tenaga nuklear.
Katanya, beliau sempat kembali ke Malaysia dan bekerja di sebuah syarikat kren, MHE-Demag tetapi ia bertahan selama empat bulan sebelum meletakkan jawatan
“Di sini memang tak ada apa-apa tentang nuklear, waktu nak ‘resign’ cuak juga tetapi pengurus, Puan Rahmath yang banyak ajar saya di syarikat itu beri semangat untuk saya teruskan dan tidak putus asa dengan impian saya,” kata Ikhwan.

Impiannya untuk bekerja dalam bidang nuklear akhirnya tercapai selepas menyertai Wehaya Process, kemudian pada 2023 beliau mengambil keputusan untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang kejuruteraan nuklear di University of Michigan dengan tajaan MARA.
“Muka saya pada waktu ini memang nampak gembira dan teruja sebab saya tak tahu cabaran apa yang bakal saya lalui,” ujarnya berseloroh.
Tambah Ikhwan, dia ditempatkan dalam kumpulan reka bentuk reaktor di bawah bimbingan Profesor Won Sik Yang, seorang mentor tegas dengan pengalaman 40 tahun. Selain itu, jadualnya juga bertambah padat kerana perlu belajar dan bekerja dari 9 pagi hingga 12 malam setiap hari.
Hasil kerja keras beliau juga akhirnya berjaya apabila kumpulannya memenangi Anugerah Kertas Terbaik di ICAPP 2025 untuk reka bentuk Wielenga Innovation Static Salt Reactor.

Perjuangan Mencari Kerja
Walaupun tamat pengajian dengan CGPA 4.0, menurut Ikhwan mencari pekerjaan dalam industri nuklear bukan mudah.
“Selepas beberapa bulan graduasi, universiti beri tajaan penuh untuk saya pergi bentangkan design reaktor kami di Czech Republic. Dalam 10 bulan saya hantar sekurangnya tiga permohonan kerja setiap hari tapi banyak kena tolak sebab saya bukan warganegara,” jelasnya lagi.
Bak kata pepatah ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’, nasib Ikhwan berubah pada Julai 2024 apabila mendapat tawaran bekerja di syarikat nuklear, Holtec International dan paling menarik baru-baru ini beliau turut dinaikkan pangkat sebagai senior engineer atau jurutera kanan pada Januari lalu.

Dalam pada itu, di penghujung perkongsiannya, beliau sempat berkongsi menyatakan impian utamanya untuk membawa kembali ilmu yang diperoleh ke Malaysia
“Saya dah capai cita-cita nak jadi jurutera nuklear tapi perjalanan ini tak akan berhenti lagi sebab misi seterusnya, nak bawa balik ilmu yang sudah dikumpul ke tanah air tercinta,” tulisnya.
Sementara itu, kisah Ikhwan telah mendapat sambutan luar biasa dan ramai yang terinspirasi oleh ketekunan dan kerendahan hatinya. Sehubungan itu juga, ada juga yang berharap agar Malaysia membuka semula perbincangan mengenai tenaga nuklear sebagai sumber tenaga masa depan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.