Ini Rupanya Kisah Legenda ‘Puteri Gunung Banang’ Yang Diadaptasi Oleh Iman Troye Di AJL 37, Lirik Puitis & Bijak!

Share

Jika menyebut mengenai kisah legenda tempatan yang dipimpin oleh karakter wanita seperti Puteri Gunung Ledang dan Mahsuri, pastinya korang semua serba tahu mengenai jalan cerita dan pengorbanan yang perlu mereka tempuhi.

Namun jika nama Puteri Gunung Banang yang dipetik, belum tentu ada yang mengenalinya.

Nama Puteri Gunung Banang mula diperkatakan disebabkan lagu nyanyian pelapis industri seni muzik Malaysia, Iman Troye berjaya lolos ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-37 yang berlangsung pada 12 Februari lalu.

Persembahan penuh bertenaga lagu Nang sebagai pembuka acara oleh Iman Troye atau nama sebenarnya, Iman Alyssa Sahabudin merungkai serba sedikit mengenai kisah Puteri Gunung Banang. Malah nama lagu Nang itu sendiri hadir darupada nama gunung tersebut.

Kongsi Iman kepada portal XTRA, dia sanggup ‘mengangkut sekampung’ penari terdiri daripada 12 orang penari, 6 orang kerdil, 8 ahli kumpulan Dikir Barat, 8 pemain gamelan dan pelakon, Fimie Don sebagai penglipur lara Hikayat Putera Shazlan demi mewujudkan suasana kampung bagi persembahan Nang

.
Fimie Don sebagai penglipur lara. FOTO: Instagram Iman Troye
FOTO: Instagram Iman Troye

Iman sendiri mengenakan persalinan tradisional songket serba merah dan sanggup berkaki ayam bagi mengekal keaslian gambaran karakter Puteri Gunung Banang.

Cuma, apa sebenarnya kisah di sebalik kisah Puteri Gunung Banang ini sehinggakan ia penting dalam penceritaan Iman Troye?

Pertama kali kisah karakter ini diceritakan semula dalam suatu bentuk karya adalah menerusi filem berjudul Puteri Gunong Banang pada tahun 1959 yang dilakonkan oleh Dato’ Ahmad Mahmud sebagai Wira dan seorang pelakon wanita bernama Sri Dewi yang membawakan watak puteri tersebut.

Menerusi filem terbitan Malay Film Production Limited itu, Puteri Gunung Banang merupakan saudara kepada Puteri Gunung Ledang di Muar dan tujuh orang adik-beradik lain. Mereka semua dinamakan bersempena puncak tertinggi seperti Puteri Gunung Panti di Kota Tinggi dan Puteri Gunung Beremban di sempadan negeri Johor-Pahang.

Kesemua puteri ini dikatakan tidak boleh dilihat menerusi mata kasar, ada juga yang menganggap mereka sebagai sebagai makhluk halus yang membantu sesiapa yang tersesat di gunung-gunung berkenaan.

Iman bersama enam lagi ‘saudara Puterinya’ dalam persembahan Nang. FOTO: Instagram Iman Troye

Puteri Gunung Banang digambarkan sebagai seorang jelitawan yang pernah membantu seorang jejaka berwajah hodoh dan miskin agar menjadi seorang yang kacak lagi kaya. Ini gara-gara jejaka tersebut berhati jujur dan rajin orangnya.

Begitulah yang disampaikan menerusi lirik lagu Nang. Antaranya seperti di bahagian verse pertama berbunyi;

Kicau murai batu puteri

Bunyi-bunyian jelita

Tak nampak waktu dicari

Bila sesat di jumpa

Satu di antara tujuh

Datangnya dari jawa

Baru bertemu aduh aduh

Kau tanya namanya

Baru bertemu aduh aduh

Ini jawabnya

 

Verse kedua pula;

Adik beradiknya tujuh

Oh cantik dan menggoda

Baru bertemu aduh aduh

Ku tanya namanya

Baru bertemu aduh aduh

Dan ini jawabnya

 

Dan di bahagian bridge berbunyi:

Walaupun miskin dan tak berharta

Namun hatinya jujur saksamA

Cukuplah buat hamba

Akan tetapi, jika mengikut jalan cerita filem Puteri Gunong Banang, jejaka itu telahpun disumpah menjadi monyet kerana melanggar janji dan menjadi sombong.

*

Biarpun kisah Puteri Gunung Banang ini hanyalah kisah legenda yang diceritakan secara turun-temurun, hakikatnya, Gunung Banang memang wujud!

Terletak di Batu Pahat, Johor, ia kini telah menjadi sebuah pusat rekreasi pengunjung dan menghadap ke arah Selat Melaka (sekali lagi, lirik lagu Nang menceritakan poin ini).

Puncaknya menjulang tinggi

Menghadap selat Melaka

Jika tak kau ketahui

Ini kisah lagenda

Patutlah karya Nang yang ditulis oleh Ezra Kong & A. Ramlee, dicipta oleh Ezra Kong dan dinyanyikan oleh Iman Troye ini diangkat sebagai salah satu daripada 12 finalis Anugerah Juara Lagu ke-37!

Meski dilabel sebagai ‘lagu TikTok’ kerana popularitinya di platform media sosial itu, Nang ternyata bukanlah sebuah lagu ‘kaleng-kaleng’.

P.S: Biduanita Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini juga pernah meluncurkan sebuah lagu asli berjudul Gunung Banang.

SUMBER: Rencana ‘Puteri Gunung Banang Tarik Pelayar Singgah Batu Pahat’ oleh Mohamed Farid Noh untuk Berita Harian

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Ballgown’ Organza Memukau! Terlalu Berat Hingga Ernie Zakri Terpaksa Berjalan Pakai Sneakers Sahaja – REMAJA

BACA LAGI: Asalkan Aina & Shiha PUAS! Nilai Persembahan Kurang 5 Minit Di AJL37 Boleh Cecah RM100,000 – REMAJA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ