Hari ini kita menerima berita yang cukup menyayat hati dari Sabah apabila dua orang remaja ditemui meninggal dunia di dalam kereta. Kedua-dua mangsa yang berusia 19 tahun ditemui mati di dalam sebuah kereta Perodua MyVi di Kinabatangan, Sabah oleh penduduk setempat kira-kira jam 11.40 pagi semalam.
Menurut laporan ketika pihak polis tiba di lokasi enjin kereta mereka masih hidup. Cubaan untuk mengejutkan mereka pada awalnya gagal kerana disangka masih tidur dan mereka tidak memberikan apa-apa tindak balas.
Sejurus dengan itu sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan segera dikejarkan ke tempat kejadian. Setelah usaha membuka pintu gagal, pihak Bomba dan Penyelamat tiba untuk memberikan bantuan.
Selepas pintu berjaya dibuka mereka didapati masih tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Hospital Kinabatangan.
Kedua-dua remaja tersebut telah dikenal pasti dan mereka ialah Mohd Fitri Haimin dan Mohd Helmi Muhammad.
BACA: Cetek Tapi Lombong Ini Sudah Korbankan 14 Nyawa Dalam Tempoh 2 Bulan
Punca kematian mereka masih sedang dalam siasatan namun ramai pakar percaya berkemungkinan besar mereka telah maut akibat kekurangan oksigen dan keracunan gas karbon monoksida.
Sebenarnya sudah banyak kes yang melibatkan kejadian kematian seperti ini berlaku. Jadi bagaimanakah ia berlaku?
Seseorang boleh berdepan kematian jika terus bernafas dengan udara sama yang dikitar di dalam kereta. Selain itu jika berlaku kebocoran asap kereta yang masuk ke dalam juga boleh membunuh secara senyap. Dalam kebanyakan kes, kebocoran beginilah yang menjadi punca kematian utama yang melibatkan tidur dalam kereta dengan penghawa dingin terpasang. Bila karbon monoksida masuk ke dalam kereta kandungan oksigen akan turun dengan mendadak.
Apa yang membuatkan karbon monoksida sangat bahaya ialah ia tidak mempunyai apa-apa bau lalu menyebabkan mangsa tidak mengetahui bahawa udara yang mereka sedut itu cukup sangat berbahaya.
Korang mungkin tertanya bagaimana gas karbon monoksida boleh membunuh?
Apabila kita menyedut karbon monoksida ia akan menurunkan kemampuan darah untuk membawa oksigen di dalam sel, lalu menyebabkan ia mati kerana kekurangan oksigen.
Selain keracunan gas karbon monoksida, kerosakan penghawa dingin juga boleh menjadi penyebab. Apabila rosak ia tidak dapat mengitar udara segar di dalam kereta lalu menyebabkan kandungan karbon dioksida meningkat.
Oleh itu periksa dan servis mengikut masa penghawa dingin kereta korang jika ingin mengelak perkara begini berlaku.
REMAJA ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takiah buat kedua-dua keluarga mangsa.