Umpama pasang surut gelora laut, begitu jugalah soal populariti dalam industri seni hiburan. Ada masanya menggapai langit, tiba masanya perlu kembali berpijak di tanah semula.
Meerqeen merupakan satu kuasa baharu industri. Sebut sahajalah namanya, peminatnya melangkau dari peringkat kanak-kanak sehinggalah ke yang sudah berusia.
Sedari menamatkan saingan menerusi pencarian Hero Remaja 2020 di kedudukan pemenang tempat ketiga, Meerqeen tidak menoleh ke belakang dan terus memacu laju sebagai seorang pelakon serta jurucakap jenama.
ARTIKEL BERKAITAN: “I Will Go All Out..” Meerqeen Sanggup Tegapkan Badan Untuk Bintangi Naskah Seram Indonesia – REMAJA
Memasuki tahun ketiganya dalam industri seni hiburan ini, jejaka berusia 22 tahun ini sudahpun menetapkan satu aras baharu bagi mana-mana pendatang baharu yang ingin menawan kelompok penonton Malaysia dan Indonesia.
Begitupun, segala kejayaan yang diraih ini hadir dengan tanda harga berbaur sindiran. Kononnya, kelibat Meerqeen dirasai mereka sebagai terlalu ‘mainstream’. Wajahnya yang berada di merata-rata tempat tidak disenangi oleh segelintir pihak.
REMAJA menemui Meerqeen di majlis berbuka puasa bersama The Coffee Bean & Tea Leaf® Malaysia baru-baru ini bagi mendapatkan pandangannya berkenaan kata-kata nakal yang timbul ini.
“Saya tidak terlalu memikirkan komen-komen negatif sebegitu. Sebaliknya, apa yang berada dalam kepala saya adalah, ‘Bila lagi saya nak dapat peluang yang sama? Bila lagi giliran saya?’.
“Mungkin ada pihak akan merasakan saya tamak tetapi saya tidak merasakan sebegitu. Ini adalah laluan kerjaya yang saya pilih dan saya perlu sentiasa dahagakan peluang. Jika sudah tertulis rezeki saya, saya berlapang dada terima.
“Penat itu tentulah ada, kerja mana yang tidak penat? Tetapi ini punca rezeki saya dan saya tidak mahu main-main,” ujar duta baharu The Coffee Bean & Tea Leaf® Malaysia itu.
Tambah Meerqeen, tidak semua orang yang dapat melihat pengorbanan yang terpaksa dia lalui untuk sampai ke tahap sekarang.
“Saya tahu saya masih ‘hijau’. Tetapi selama tiga empat tahun ini, saya terpaksa berkorban banyak perkara seperti masa dengan keluarga. Saya perlu ketepikan perasaan malu di hadapan orang ramai dan banyak lagi pengorbanan lain yang orang luar tak nampak.
“Sebab itulah, apabila ada yang mengomel kononnya wajah saya di merata-rata tempat, saya abaikan sahaja. Yang saya tahu, to be at this point is not easy
. Jadi, tidak mungkin saya akan mudah berpuas hati dengan kejayaan satu, dua projek sahaja,” jelasnya.Dalam tempoh masa sebulan sahaja, Meerqeen sudahpun dirisik sebagai warga Malaysia pertama untuk menjadi duta bagi Yves Saint Laurent (YSL) Beauty dan The Coffee Bean & Tea Leaf® Malaysia.
Sebagai duta jenama Foundation & Fragrance Franchise di bawah YSL Beauty, penglibatan Meerqeen berfokus kepada rangkaian alat kosmetik dan wangian badan.
Sementara itu, The Coffee Bean & Tea Leaf® Malaysia yang baru melanjutkan pelantikan Meerqeen sebagai duta jenamanya pula seiring dengan pembukaan cawangannya yang ke-150 di Malaysia serta kempen Aidilfitri #RayaMeerqeenCBTL.
Ternyata, pelakon Melur Untuk Firdaus ini sedang memuncak naik dalam soal populariti dan punya aura tersendiri sehinggakan dia menjadi pilihan utama jenama-jenama antarabangsa.
“Saya tidak merasa sebarang tekanan. Saya tahu apa yang saya buat. Saya suka apa yang saya sedang buat. Jadi saya tidak tertekan pun dengan jadual yang silih berganti antara dunia lakonan dan tugas sebagai duta jenama produk. I love my job so much
dan saya ‘layan’ sahaja perjalanan ini.“Sebelum saya menjadi figura am, saya sudah meletakkan goals yang tinggi untuk saya kecapi dalam industri seni hiburan ini. Saya pernah mengimpikan peluang bekerjasama dengan jenama-jenama antarabangsa sejak di bangku sekolah lagi. Apabila impian itu kini bertukar realiti, tak kan saya nak rasa tertekan. Saya lihatnya sebagai kerja harian saya and I’m loving every second of it,” katanya.
Terdahulu, REMAJA pernah menemui Meerqeen dan rakan-rakan pelakon drama bersiri Viu Originals Nenek Bongkok Tiga bagi segmen Remaja Cer Try.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.