“Ini adalah salah” Menteri KBS ‘Bersuara’ Insiden ‘Coach’ Bola Tampar, Menampar 2 Pemain Remaja

Share

Seharusnya tiada tempat dan tidak wajar berlakunya keganasan dalam dunia sukan, terutamanya antara jurulatih dan pemain, apatah lagi melibatkan atlet kanak-kanak dan remaja.

Baru-baru ini, satu video tular di media sosial yang menyaksikan seorang jurulatih dilihat menampar dua pemain bola tampar, di mana kedua-duanya dipercayai berumur bawah 14 tahun.

Kejadian tersebut berlaku semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja U14 Malaysia 2022 di Johor pada 16 Disember, perlawanan tempat ketiga dan keempat bagi kategori perempuan menyaksikan Melaka menentang Johor di SJK (C) Pei Hwa.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengadil Ryuji Sato Teruk Dikecam Peminat Skuad Harimau Malaya

Menerusi video perlawanan yang disiarkan secara langsung di Facebook pada 20 minit 20 saat, jurulatih itu dilihat telah menampar dua pemainnya disebabkan pasukan berkenaan kehilangan satu mata dalam perlawanan sebelum tamat masa dipanggil.

Sehubungan itu, kontroversi yang mengelilingi jurulatih bola tampar menimbulkan kemarahan ramai, termasuk ada yang mendakwa dia mempunyai masa lalu yang ‘bermasalah’.

“Saya nyahkunci akaun hanya untuk balas perkara ini.  Cikgu adi/hadi ini memang ‘problematic gila’, konon terpaling bawa nama vb melaka dibawah MAVA lah BS sahaja semua. Ada kes dengan PPD kena hantar ke hujung melaka sebab kes fasal pelajar. Mohon ‘educate’ cikgu ini urgh, siapa yang kenal depan-depan tahulah perangainya,” balas pengguna @audenhuxley menerusi satu ciapan di Twitter.

“Rasa kes ini Yang Berhormat kena tanya semua pemain itu. Risau mereka takut, diam tidak mahu beritahu apa sebenarnya di sebalik yang berlaku. Kalau di ruang awam  pun boleh tampar-tampar macam itu. Jatuhkan air muka. Sentuhan mana lagi yang jurularih itu pernah buat atas kononnya mahu mengajar?” komen juga pengguna @Kar|ParkHyun.

Video tular tersebut juga turut mendapat perhatian Menteri Belia Dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh. Beliau menyifatkan tindakan jurulatih itu adalah tidak wajar selain akan membincangkan perkara berkenaan dengan lebih lanjut bersama Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek.

“Ini adalah salah. Saya telah bercakap dengan (Menteri Pendidikan) Fadhlina Sidek dan kami sedang mendapatkan maklumat lebih lanjut berkenaan insiden itu,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Ahad.

Tidak kiralah apa jua keadaan sekalipun, jurulatih tidak sepatutnya ‘meletakkan’ tangan mereka pada pemain, terutamanya apabila mereka adalah gadis bawah umur.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Sumber: Twitter @jilmisai& Foto The Vibes

Published by
Fath