Shikansen atau bullet train merupakan antara salah satu kemajuan terkenal di Jepun dan mendapat pengiktirafan dunia kerana kelajuan dicapai. Tidak hairanlah, kepantasan dicapaishinkansen serta reka bentuk yang dinamik membuatkan Jepun dikenali sebagai sebuah negara berteknologi tinggi.
Sudah pun mencipta beberapa siri shinkansen, Jepun sekali lagi mencipta satu lagi shinkansen terkini yang boleh mencapai 600km/sejam yang dinamakan. LO Series. Baca catatan Zunita Ramli, rakyat Malaysia yang tinggal di negara Matahari terbit ini yang sering membuat catatan menarik dari negara Jepun.
Untuk makluman semua, L0 Series Shinkansen, atau keretapi laju siri L0 adalah Shinkansen paling laju di dunia ketika ini.
Dibuat oleh Mitsubishi Heavy Industries, ia mempunyai kelajuan maksima sehingga 600km/j, menjadikan perjalanan antara Tokyo dan Osaka sejauh 501km hanya 1 jam 7 minit sahaja. Shinkansen ini dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2027.
Selain menggunakan teknologi maglev (magnetic levitation), ia juga mengambil inspirasi dari alam sekitar iaitu burung hantu dan burung kingfisher.
Burung hantu, terkenal sebagai pemburu “senyap”. Ini kerana burung hantu mempunyai bulu pelepah seperti “sikat”, tidak seperti burung lain yang mempunyai bulu pelepah yang “runcing” seperti burung helang.
Burung helang walaupun laju, menghasilkan banyak bunyi apabila terbang. Burung hantu pula boleh terbang laju tetapi tidak mengeluarkan banyak bunyi. Ini kerana bulu pelepahnya yang berbentuk sikat berfungsi untuk mengurangkan bunyi aerodynamik.
Pengetahuan ini digunakan oleh pencipta shinkansen iaitu Eiji Nakatsu untuk menyelesaikan masalah shinkansen yang melibatkan bunyi. Ini kerana secara teknikalnya, semakin laju Shinkansen, semakin banyak bunyi aerodinamik yang dihasilkan. Jadi “serrations” seperti pelepah burung hantu diletakkan di bahagian utama pantograf untuk mengatasi masalah ini.
Untuk menyelesaikan masalah perbezaan tekanan udara apabila masuk/keluar terowong pula, Nakatsu mengambil inspirasi dari burung kingfisher di mana burung ini terkenal dengan pemburu ikan yang pantas, dengan junaman laju dari udara ke dalam air dan kembali semula ke udara dengan sangat pantas tanpa percikan air yang banyak.
Umum mengetahui tekanan udara dan dalam air adalah berbeza. Jadi bagaimana burung kingfisher boleh mengatasi perbezaan tekanan ini dengan laju? Iaitu dengan paruhnya yang panjang.
Mengambil inspirasi dari burung kingfisher ini, Shinkansen L0 series direka dengan muncung sepanjang 15 meter untuk mengatasi masalah tekanan keluar masuk terowong tanpa menjejaskan kelajuannya terutama apabila mencapai kelajuan maksima, 600km/jam.
.
#CatatanZunitaDiJepun