Kreatif dan berseni, itu yang boleh penulis gambarkan tentang kostum nasional yang digayakan oleh wakil Malaysia ke pertandingan Miss Grand International 2023, Kash Bhullar.
Pada sesi persembahan kostum nasional, gadis berusia 22 tahun ini telah menggayakan kostum nasional rekaan Ain Mohamed yang diinspirasikan daripada Bunga Telur yang menjadi satu tradisi dalam majlis perkahwinan orang Melayu.
Dalam satu hantaran di Instagram, Miss Grand Malaysia 2023 ini menerangkan tentang kisah di sebalik inspirasi kostum nasional yang digayakannya.
“Dalam adat Melayu, telur yang ada dalam bunga telur mewakili kesuburan. Oleh itu ia dianggap sebagai mendoakan agar sesuatu pasangan beroleh kesuburan dan diberikan zuriat dalam masa terdekat.
“Namun, ada juga yang memecahkan tafsiran bunga telur iaitu Bunga pahar adalah kuntuman bunga yang diikat pada telur dan dipacak pada pulut kuning di kiri dan kanan mempelai manakala bunga telur pula sebagai buah tangan yang diberikan kepada para hadirin yang datang bertandang ke majlis perkahwinan,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Acara akhir Miss Grand International 2023 bakal berlangsung pada malam 25 OKtober 2023 ini bertempat di Stadium Tertutup Phu Tho, Ho Chi Minh, Vietnam.
Imbas kembali, Malaysia telah menghantar wakil ke pertandingan ini sejak edisi pertama lagi pada 2013. Setakat ini wakil negara sudah berjaya tembus ke peringkat top 20 sebanyak dua kali pada tahun 2016 dan 2021 menerusi perwakilan Ranmeet Jassal dan Lishalliny Kanaran.
Manakala pada tahun 2020, Jasabel Robert berjaya tembus ke kedudukan top 10 apabila memenangi segmen Fan Vote. Adakah Kash akan berjaya menempatkan diri dalam kalangan 20 terbaik? Sama-sama kita nantikan.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.