Berita

Inspirasi! Murid Tahun 6 Berjalan Kaki 6KM Ke Sekolah Ditemani Bapa Setiap Hari Raih Perhatian!

Share

Kegigihan seorang murid tahun 6 untuk hadir ke sekolah sejauh enam kilometer dengan berjalan kaki telah meraih perhatian ramai.

Seorang aktivis masyarakat, Abbe Hae berkongsi mengenai kisah kecekalan murid perempuan yang berulang alik ke sekolah setiap hari dengan ditemani oleh bapa tercintanya.

Menurut penerima Anugerah Tokoh Khas Individu Maulidur Rasul WPKL 2024 itu, jarak rumah ke sekolah kanak-kanak itu sejauh tiga kilometer.

ARTIKEL BERKAITAN: Hadir Ke Konvokesyen Tanpa Anak Disisi, Sheeda & Suami Bangga Dengan Kejayaan Arwah Puteri Tercinta -“Kami Tetap Bangga Walaupun Dalam Kesedihan”

Kadang kala, dibantu oleh penduduk kampung di kawasan Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan yang kebetulan terserempak dengan murid itu bersama kakaknya yang turut berjalan kaki ke sekolah menengah.

“Izara berjalan kaki ke sekolah setiap hari dengan ditemani bapanya..Pergi dan balik berjalan kaki dalam lingkungan 6KM.

“Sekolah Izara agak jauh jika dibandingkan dengan sekolah kakaknya. Kakaknya di sekolah menengah dalam tingkatan 2. Jarak sekolah kakaknya hanya 1.5KM dari rumah manakala jarak sekolah Izara pulak 3KM dari rumah,” coretnya.

Tambahnya lagi, Izara dan adik-beradiknya sebelum ini dihantar dengan motosikal tetapi kenderaan terbabit telah rosak dan bapa mereka tidak mampu untuk membaikinya.

Kongsi Abbe Hae, pelajar tersebut dilihat seorang anak yang rajin belajar, malah turut memuji sikap bapanya yang bertanggungjawab walaupun dalam serba kekurangan.

“Izara adalah anak yang rajin belajar. Sampai saja dirumah Izara terus saja buka beg sekolah dan mengulangkaji pelajaran.

“Apa yang menarik perhatian Abbe adalah tanggungjawab si ayah yang sanggup menghantar anaknya berjalan kaki kesekolah agar anaknya tidak tercicir dalam pelajaran. Satu komitmen yang harus diikuti oleh orang lain,” katanya lagi.

Melihat kegigihan murid berkenaan, Abbe berhasrat untuk memberi biasiswa bulanan kepada murid tersebut.

Sementara itu, dia juga akan menanggung kos motosikal bapa Izara dan memintanya untuk dibaiki secepat mungkin agar tidak perlu lagi murid tersebut berjalan kaki ke sekolah.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: FB Abbe Hae

Published by
Fath