INSPIRASI : Pasangan Dari Malaysia Tersenarai ‘Wira Dermawan 2022 Forbes Asia’

Share

Siapa bilang warga Malaysia tidak mampu untuk mencapai nama dan tersenarai dalam Forbes. 

ARTIKEL BERKAITAN : Siti Nurhaliza & Neelofa Tersenarai Antara Top 100 Bintang Digital Forbes Asia 2020.

Terkini, komitmen peribadi yang tinggi terhadap amalan dermawan seperti pendidikan dan alam sekitar oleh Brahmal Vasudevan dan pasangannya Shanthi Kandiah membuahkan hasil.

Hal ini apabila mereka tersenarai dalam Wira Dermawan (Heroes of Philanthropy) 2022 Forbes Asia bersama 14 tokoh lain termasuk individu terkaya India Gautam Adani dan jutawan ekuiti swasta yang berpangkalan di Hong Kong, Jean Salata.

Brahmal Vasudevan dan Shanthi Kandiah tersenarai dalam edisi ke 16 ini selepas menunjukkan komitmen peribadi yang tinggi terhadap amalan dermawan seperti pendidikan dan alam sekitar.

Foto Via FMT

“Senarai itu menonjolkan dermawan yang menyumbang kekayaan mereka sendiri dan meluangkan masa serta perhatian secara peribadi kepada mana-mana pihak yang menjadi pilihan,” menurut Forbes Asia.

Vasudevan, 54, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) firma ekuiti swasta Creador yang berpangkalan di Kuala Lumpur dan isterinya yang juga seorang peguam Shanthi Kandiah, 53, menyokong komuniti tempatan di Malaysia dan India melalui Yayasan Creador, sebuah syarikat bukan berdasarkan keuntungan yang diasaskan bersama pada 2018.

Pada Mei tahun ini, mereka berikrar untuk menderma RM50 juta bagi membantu membina hospital pengajar di kampus Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Kampar di Perak.

Pasangan itu membantu menambah pembiayaan setelah mengetahui UTAR hanya dapat mengumpulkan separuh daripada jumlah yang diperlukan untuk membina kemudahan itu. Kemudahan yang dijadual siap pada 2023 itu akan menyediakan penjagaan kesihatan pada kadar berpatutan.

Pada Mei, pasangan itu menderma £25 juta pound (RM133.6 juta) kepada Imperial College London – antara sumbangan terbesar dalam sejarah kolej itu – untuk mewujudkan Institute for Sustainable Aviation Brahmal Vasudevan yang bertujuan merintis teknologi bagi membantu industri penerbangan beralih kepada pencemaran sifar.

Menurut Forbes Asia, senarai itu tidak termasuk dermawan korporat, kecuali syarikat milik persendirian yang mana individu tersebut merupakan pemilik majoriti.

Apa-apa pun Remaja ingin mengucapkan tahniah buat pasangan ini kerana berjaya mengharumkan nama negara ke peringkat antarabangsa.

BACA : 11 Firma Malaysia antara 200 Syarikat Terbaik Disenarai Forbes

Sumber: BERNAMA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Nana