Instafamous dan juga seorang doktor dari Rusia, Ekaterina Karaglanova, 25 tahun ditemui mati di dalam sebuah bagasi di dalam rumahnya bersama dengan dua kesan tikaman dan juga lehernya dikelar.
Dia yang mempunyai jumlah pengikut seramai 92 ribu di laman media sosialnya dipercayai dibunuh oleh bekas teman lelakinya yang berusia 32 tahun apabila suspek ditangkap meninggalkan rumah mangsa menerusi kamera litar tertutup (CCTV).
Susulan itu, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai cemburu bekas kekasih terutamanya apabila mangsa kini sudah mempunyai kekasih baru berusia 52 tahun.
Pihak polis mempercayai bahawa pada mulanya suspek memasukkan mayat mangsa ke dalam bagasi untuk dibawa ke tempat lain namun bertukar fikiran pada saat akhir kerana ia kelihatan pelik.
Kehilangan Ekaterina mula disedari apabila dia tidak menjawab panggilan telefon daripada kedua orang tuanya seterusnya membawa kepada penemuan mayatnya.
Untuk pengetahuan, mangsa juga pernah menyertai pertandingan ratu cantik di Moscow dan juga merupakan pelajar cemerlang di Universiti Pirogov Russian National Research Medical.
Setakat ini, pihak polis masih lagi mencari suspek untuk membantu siasatan.
Sumber: BBC