Aktor berbakat besar kelahiran Malaysia, Irfan Zaini, baru-baru ini melakar sejarah dalam kerjayanya dengan membintangi filem antarabangsa terbaharu iaitu G.O.A.T. (Greatest of All Time).
Menerusi temu bual eksklusif bersama Remaja, pelakon berusia 29 tahun itu berkongsi pengalaman yang paling berharga apabila dapat bergandingan bersama bintang Bollywood terkenal, Vijay Chandrasekhar.
ARTIKEL BERKAITAN: Sentiasa Memberi, Syafie Naswip Tak Pernah ‘Lokek’ Idea Terhadap Pelakon Lain
Irfan yang memegang peranan sebagai pelakon tambahan tetapi penting dalam G.O.A.T, mengungkapkan kegembiraannya apabila dapat bekerja dalam satu set pengambaran bersama pelakon legenda itu.
“Untuk filem terbaharu ini, sampaikan saya ke set pengambaran mereka dan saya minta peluang kepada produksi terbabit untuk dapatkan satu babak bersama Vijay. Jadi, pada tahun lepas saya diberi peluang untuk dalam filem ini di Rusia, saya tidak kisah jika mereka lakukan pengambaran di Pluto pun saya sanggup.
“Saya pun tidak kisah pegang watak apa asalkan dapat berlakon dengan superstar Vijay. Jadi pelakon tambahan pun dah cukup membuatkan saya gembira. Alhamdulillah, untuk filem ini saya lebih daripada pelakon ekstra kerana saya ada beberapa babak,” katanya bernada gembira.
Dalam pada itu, tidak hanya teruja dengan peluang berlakon bersama Vijay, tetapi juga dengan sikap rendah diri dan profesionalisme bintang Bollywood itu membuatkan Irfan amat bersyukur apabila berada dalam karya tersebut.
“Apa yang saya suka mengenai Vijay adalah walaupun dia dikenali ramai, dia masih rendah diri dan menghormati orang sekeliling.
“Dia sangat menghargai masa kerana dia datang tepat pada waktunya di set penggambaran. Malah, walaupun saya baru, Vijay ajak saya masuk ke caravan dan berborak. Ini adalah perkara yang saya tidak akan lupa dalam hidup,” ujarnya.
Menariknya, tawaran berlakon dalam G.O.A.T datang semasa umat Islam sedang menyambut hari raya Aidilfitiri, Irfan bagaimanapun merasakan peluang ini terlalu penting untuk dilepaskan.
Selain itu, dia turut mendedahkan perjalanan untuk mendapatkan peluang ini tidak mudah kerana banyak cabaran yang harus dihadapinya ketika di negara orang.
“Keluarga saya memahami betapa pentingnya peluang ini, jadi saya beraya di Rusia. Paling menarik, produksi menyediakan nasi beriani untuk saya supaya saya tidak terlalu merindui keluarga. Saya tidak sangka pasukan produksi yang besar ini sangat prihatin dan menjaga kebajikan saya.
“Cabaran utama adalah mendapatkan peluang berlakon dalam filem ini. Dengan ribuan pelakon yang menunggu peluang untuk berlakon bersama Vijay, dan saya sebagai orang Malaysia, saingannya sangat sengit. Saya rasa ini adalah rezeki yang cukup besar buat diri saya,” tuturnya lagi.
Menutup bicara, pelakon filem Polis Evo 3 itu sempat memberikan nasihat kepada pelakon muda yang bercita-cita untuk menembusi industri filem antarabangsa.
“Tiada formula khusus untuk mencipta nama dalam filem antarabangsa. Bagi saya, jangan terus putus asa dan teruskan mencuba. Masa yang tepat akan datang jika kita bersungguh-sungguh dan mencintai apa yang kita lakukan,” nasihat Irfan.
“Bina diri anda dahulu dan cipta satu profil sebelum melangkah ke luar negara. Belajar di Malaysia dan bersedia untuk segala kemungkinan yang berlaku di sana. Jalannya bukan mudah, tetapi usaha yang berterusan akan membuahkan hasil,” katanya panjang.
Sekadar info, filem yang disutradarai oleh pengarah terkenal Venkat Prabhu dan ditulis oleh skrip yang berpengalaman, menjanjikan sebuah pengalaman sinematik yang luar biasa. G.O.A.T. juga banyak melakukan pengambaran di negara Rusia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.