Amboi, siap ada yang sibuk berswafoto dan ‘OOTD’ lagi!
Seserius mana suhu politik di Malaysia, serius lagi pergolakan politik yang berterusan di Sri Lanka.
Sejak beberapa bulan lalu, presidennya Gotabaya Rajapaksa telah dituntut berundur susulan krisis ekonomi yang dialami rakyatnya. Ini termasuklah krisis makanan dan bahan api berpanjangan yang membuatkan rakyat kecewa.
Jelas kini, rakyatnya lebih berani dalam tindakan mereka untuk mengutarakan kekecewaan itu.
Hujung minggu lalu, ratusan perusuh dilaporkan telahpun terlibat dalam konfrontasi tegang dengan pasukan keselamatan di Istana Presiden.
Hanya dalam masa beberapa jam sahaja, mereka telah berjaya menceroboh masuk ke dalam kawasan istana. Perusuh telah merobohkan penghadang dan memanjat pintu pagar menggunakan trak polis yang dirampas.
Begitupun, kelibat Presiden Rajapaksa tidak kelihatan setelah beliau dipercayai telah melarikan diri dengan bantuan tembakan ke udara oleh pihak tentera.
Kumpulan perusuh dilihat bersuka ria meraikan kemenangan rakyat menguasai perkarangan istana. Imej yang dikongsikan oleh media tempatan menunjukkan betapa ‘meriahnya’ istana dengan kemunculan perusuh di segenap kawasan.
Sekumpulan lelaki melompat masuk ke dalam kolam renang manakala perusuh lain duduk berehat di halaman berumput.
Di dalam bangunan istana pula, kawasan tangga utamanya dipenuhi ratusan lagi perusuh yang ingin naik ke aras atas.
Mereka mengambil giliran masuk ke kamar tidur milik Presiden Rajapaksa dan duduk di atas katil bersaiz ‘king’ serta sofanya. Tidak kurang juga yang memenuhi ruang dapur untuk menikmati makanan dan minuman yang berselerak di atas meja.
Lapor media, pegawai polis di sana dilaporkan tidak menunjukkan usaha untuk menghalau perush kerana jumlahnya yang terlalu ramai.
Untuk pengetahuan, Istana Presiden tersebut dahulunya merupakan kediaman rasmi gabenor British. Setelah Sri Lanka mencapai kemerdekaannya pada tahun 1948, ia telah ditukar menjadi kediaman rasmi presiden Sri Lanka.
P.S: Tak dapat bayangkan jika kediaman rasmi Seri Perdana di Putrajaya menjadi kawasan rusuhan seperti ini.
BACA LAGI : Waris ‘Diktator’ Filipina Pimpin Negara Lepas 36 Tahun Keluarga Marcos Digulingkan – REMAJA
Sumber Foto : Tangkap layar Reuters
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.