Syawal pada tahun ini nyata memberikan sinar kebahagian buat pelakon, Ikmal Amry dan isteri, Najla Shamsul apabila mereka mengesahkan bakal menerima cahaya mata sulung, tidak lama lagi.
Perkhabaran gembira itu telahpun dikongsikan oleh Ikmal menerusi hantaran di akaun Instagram semalam. Saat dihubungi REMAJA, Ikmal tidak menyembunyikan kegembiraannya dan rasa syukur ke hadrat Ilahi di atas kurniaan Allah SWT ini.
“Pertama sekali, Alhamdulillah kami bersyukur di atas pemberian ini walaupun kandungan masih dalam peringkat awal lagi. Semoga semua dapat terus mendoakan yang terbaik buat saya dan isteri, InsyaAllah.
“Nak kata merancang itu, tidak adalah. Bagi kami, ini adalah rezeki yang dikurniakan Allah SWT. Cuma sejak saya berusia awal 20-an pun, saya sudah teringin mempunyai cahaya mata sendiri; lebih-lebih lagi apabila melihat kenalan rapat semua sudah bercahaya mata.
“Itu juga adalah antara pemangkin untuk saya berkahwin muda (pada usia 26 tahun). Saya kalau boleh tidak mahu melambat-lambatkan peluang mendapat anak. Najla pun sudah bersedia untuk fasa ini kerana dia sudah terbiasa menjaga anak-anak saudaranya. InsyaAllah kami berdua sudah bersedia,” kata finalis pencarian Hero Remaja 2017 ini.
Tambahnya lagi, pada peringkat awal dia sendiri tidak menyedari keadaan isterinya yang sudah berbadan dua.
Cuma kebelakangan ini, pelakon yang popular dengan drama bersiri Gantung itu mengalami alahan seperti loya tekak dan tidak mempunyai selera makan. Selain itu, emosinya pula yang kurang stabil.
“Apabila Najla melakukan pemeriksaan doktor dan disahkan berbadan dua, barulah saya faham simptom-simptom yang saya alami itu ada maknanya.”
“Saya pernah dengar cakap orang tua-tua bahawa simptom kebiasaan perempuan mengandung ini akan dialami oleh suaminya dahulu.”
Jelasnya, buat masa ini mereka berdua lebih selesa menyorokkan usia kandungan Najla sehingga keadaan bayi dan ibu stabil mengikut pandangan doktor.
Berita gembira ini turut diterima baik oleh pihak keluarga pasangan ini dan dianggap sebagai bonus kepada sambutan 1 Syawal pada tahun ini.
“Kepada peminat yang sentiasa memberikan sokongan dari zaman saya bujang hinggalah sekarang, saya hanya mengharapkan doa kalian untuk saya sekeluarga dan bayi yang bakal datang ini.
“Setiap doa dan sokongan moral daripada kalian amatlah saya hargai. Kalau ada tip dan ilmu sebagai parents muda, kongsilah kepada kami berdua,” ujar Ikmal yang bakal muncul dengan siri Tak Kot Raya (Raya pertama hingga keempat) di saluran Astro Warna dan telefilem seram Hanya Namamu Laila di saluran Astro First pada Raya ketiga.
Biarpun sibuk dengan soal keluarga, jadual Ikmal tetap padat di set penggambaran. Ikmal sedang sibuk menjalani penggambaran sebuah drama bersiri untuk slot Akasia dengan membawakan watak antagonis.
Tahniah sekali lagi kepada Ikmal Amry dan Najla Shamsul!
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI