Isu 4 Juta PENDATANG HARAM, Rakyat Makin Bosan & Mahu Kerajaan Hantar Balik SEGERA

Share

Hari ini Tan Sri Muhyiddin Yassin memulakan tugas pertamanya sebagai Menteri Dalam Negeri. Dalam satu sidang akhbarnya yang dipancarkan secara terus oleh Astro Awani, ramai rakyat yang sedang menonton siaran live itu membangkitkan isu kebanjiran pendatang asing yang sudah terlampau banyak iaitu 4 juta pendatang haram.

Semasa siaran langsung itu, ramai yang menulis  sudah bosan kerana terlampau banyaknya  warga asing di Malaysia dan mahu Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil tindakan dan berbuat sesuatu demi #MALAYSIA BARU. Rata-rata mereka mahukan  kerajaan di bawah pentadbiran baru mengambil tindakan lebih berani, drastik dan menyegerakan tindakan menangkap pendatang haram yang sudah terlampau banyak sehingga berjalanlah di sudut mana pun, pasti akan ternampak, terserempak dengan warga asing. Begitulah digambarkan betapa banyaknya warga asing di Malaysia ketika ini.

Isu kebanjiran pendatang haram di Malaysia bukan isu biasa kerana negara dilihat begitu mudah “bolos” malah isu kemasukan pekerja dari Bangladesh yang berjumlah 1.5 juta sebelum ini juga menimbulkan perdebatan yang bukan sedikit dari masyarakat.

Namun malangnya semasa kerajaan lama memerintah, isu-isu ini dipandang sepi kerana alasan yang sama diberikan oleh pihak berwajib kononnya mereka ini akan memenuhi permintaan pekerjaan di sektor yang tidak diminati warga tempatan seperti sektor jenis 3D (Dirty, Dangerous & Difficult).

Dengan jumlah seramai ini, kita tidak tahu sama ada sedang berada di Nepal, Bangladesh atau Myammar dan juga India?

 

Rakyat sudah bosan dengan jutaan pendatang haram dan mahu kerajaan baru mengambil tindakan drastik menanganinya

Sedangkan ironinya kita boleh lihat begitu ramai yang bekerja bukan untuk sektor 3 D sebaliknya mereka berani membuka kedai runcit, menjalankan perniagaan karpet, restoran dan banyak lagi sehingga banyak peluang kerja untuk anak muda Malaysia tertutup dengan sendirinya.

Memetik satu kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia, dianggarkan terdapat 6.7 juta pekerja asing di negara ini, dan 2.1 juta daripadanya adalah warga asing yang mempunyai permit kerja manakala selebihnya adalah pendatang haram.

Hal ini menimbulkan persoalan kenapa Malaysia terlalu mudah dibolosi, adakah tiada pemantauan ketat, terlalu mudahkan pintu sempadan dibuka kepada orang luar atau ada sindiket di kalangan orang dalam sendiri kerana andai kawalan ketat, tak mungkin pintu sempadan begitu mudah dibolosi sehingga 4 juta orang. Kalau empat orang itu kita boleh percaya tetapi 4 juta adalah satu angka yang langsung tak munasabah.

Pembolosan terlalu banyak ini memperlihatkan Malaysia antara negara paling mudah dibolosi dan menjadi pilihan pendatang haram untuk bermastautin sehingga merebut dan menutup peluang warga Malaysia untuk menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sidang media selepas mendengar taklimat pada hari pertama memulakan tugas sebagai menteri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini. Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (kanan) dan Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim (kiri). –fotoBERNAMA

Isu pendatang haram ini bukan baru sebaliknya Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) dan Sekretariat Khidmat Imigran (SKI) berkata mereka bakal menjalankan Program Bancian Warga Asing bagi mendapatkan jumlah sebenar warga asing dan pelarian di negara ini.

Pengasas SKI Amir Pasirin berkata program berkenaan yang akan dilaksanakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) itu bertujuan mengumpul data dan maklumat warga asing dan pelarian, sama ada yang memasuki ke negara ini secara sah ataupun haram.

Pada awal tahun lepas, Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) mengeluarkan amaran bahawa populasi warga asing boleh mengatasi populasi Cina Malaysia pada tahun 2030 jika trend kebanjiran warga asing seperti sekarang berterusan.

Adakalanya warga Malaysia khususnya orang perempuan takut untuk jalan sendirian di tengah warga asing ini

Sebagai rakyat Malaysia, kita sangat mengharapkan kerajaan baru yang diterajui oleh Pakatan Harapan ini mampu menangani isu warga asing. Rakyat juga harus berubah sikap dan membantu menyalurkan maklumat kerana semakin berdiam diri, kita sebenarnya menggadaikan negara ke tangan warga asing.

Cukuplah kita terasa seperti berada di Nepal, Bangladesh, India dan Indonesia ketika keluar berjalan di hujung minggu sedangkan hakikatnya kita berada di bumi Malaysia sendiri. Untuk kerajaan baru, rakyat mengharapkan agar situasi ini dapat diubah.

Published by
Almaswa Haji Che Ros