Penyanyi versatil, Aisha Retno berharap isu yang melibatkan dirinya dengan pihak penganjur konsert dapat diselesaikan secara baik.
Dalam temu bual bersama Remaja, Aisha juga menyatakan bahawa dia lebih memilih untuk menyelesaikan masalah ini secara tertutup, tanpa memperbesarkan hal tersebut kepada khalayak ramai.
ARTIKEL BERKAITAN: Isu Pembatalan Konsert, Penganjur Tuntut Aisha Retno Bayar Semula Baki Pinjaman Berjumlah RM77,000!
“Saya cuma nak cakap all the best untuk pihak penganjur konsert tersebut. Apa pun yang terjadi, semoga semua dapat selesai dengan baik kerana saya tak suka drama. Kalau pihak sana nak jumpa saya sekarang, jom. Buat semua secara tertutup, senang.
“Ia kerana khalayak tak perlu tahu hal kita ini dan nanti orang di luar sana akan tahu siapa yang benar dan siapa yang salah. Jadi sebelum kita spill siapa yang benar dan salah, lebih baik kita bincang secara tertutup dahulu,” katanya.
Selain itu, pelantun lagu popular Sutera itu menegaskan bahawa perbincangan yang baik tanpa menuding jari adalah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah.
ARTIKEL BERKAITAN: “Penganjur Seolah Menyalahkan, Saya Rasa Ini Penindasan…” Aisha Retno Tampil Beri Penjelasan
“Kalau kita boleh berbincang dengan baik, instead of menuding jari dan sebagainya yang kurang sihat bagi saya dalam industri muzik ini, saya rasa ia lebih baik. Itu yang saya boleh katakan. Yang lain saya akan beri keterangan dengan lebih lanjut nanti.
“Walaupun keadaan masih kurang baik dengan pihak sana, tapi saya tetap mendoakan yang terbaik buat mereka. Semoga terbuka hatinya untuk melakukan perkara-perkara yang baik, Insya-Allah,” tambah Aisha lagi.
Pada masa sama, Aisha turut berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan cepat dan membawa kebaikan untuk semua.
Mengenai sokongan yang diterimanya pula, Aisha berkata, dia sangat menghargai sokongan daripada keluarga, rakan selebriti, dan pasukannya yang memberi kata-kata semangat walaupun mereka belum mengetahui cerita sebenar.
“Dan selepas ini kita sama-sama boleh meneruskan semula karier seperti biasa dan semoga tahun depan kita buka lembaran baharu. Moga dapat cepat habiskan kes ini dan baik-baik sahaja, Insya-Allah.
“Saya boleh katakan saya ada sokongan yang cukup baik daripada keluarga, rakan selebriti, dan team saya yang memberikan kata-kata semangat kepada saya walaupun mereka tak tahu lagi cerita sebenar tetapi mereka sokong sahaja saya,” ujarnya.
Aisha juga menganggap segala cabaran yang dilalui pada tahun ini sebagai satu proses pembelajaran.
“Ya, saya masih baru lagi dalam industri muzik ini. Dan mengajar saya lebih giat lagi untuk berkarya selain berguru dengan seseorang dalam bidang ini. Ini adalah proses pembelajaran bagi saya.
“Apa sahaja yang terjadi dalam hidup saya tahun ini, saya cuba ambil sebagai hikmah. Mungkin Allah nak beri ganjaran yang lebih besar lagi di masa akan datang, Insya-Allah,” kata penyanyi lagu Samudera itu.
Terdahulu, penganjur konsert, Kharisma Music International, Yuka Kharisma, telah menuntut penyanyi versatil, Aisha Retno untuk membayar semula wang sebanyak RM83,000 yang dipinjamkan bagi menjayakan persembahan Aisha di Anugerah Juara Lagu (AJL) pada Mac lalu.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.