Selang beberapa hari selepas seorang pelatih Tahun Empat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana didakwa menekap seterika terhadap seorang pelatih Tahun Dua, universiti tersebut digemparkan pula semalam dengan satu lagi laporan kes buli melibatkan penuntutnya.
Kejadian buli terbaru di UPNM itu melibatkan seorang pelatih Tahun Satu yang dipercayai dipijak oleh seorang pelatih Tahun Tiga. Setelah diperiksa, mangsa yang masih berusia 19 tahun itu dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang.
Memetik kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa kepada pemberita, kejadian berkenaan berlaku di tepi padang kawad setelah selesai sesi panggil nama.
Lantas, mangsa melaporkan kejadian itu pada 21 Oktober lalu; hanya sehari sebelum kes pelajar yang ditekap seterika dilaporkan.
Laporan polis pula diterima pada Jumaat lalu dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di hospital berikutan kecederaan yang dialami.
“Kes masih di peringkat siasatan. Pihak polis menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan dilengkapkan,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur.
Sebagai rekod, UPNM pernah menjadi topik trending sebelum ini akibat kes buli tujuh tahun lalu sehingga mengakibatkan kematian Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Akibat siasatan kes, enam orang bekas penuntut UPNM yang didapati bersalah membuli mangsa telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati setelah keputusan sebulat suara dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan.
BACA: Bunuh Zulfarhan, Enam Bekas Penuntut UPNM Dihukum Gantung Sampai Mati – REMAJA
SUMBER: (1)
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.