Sebelum ini tular di media sosial apabila kelalaian seorang pekerja am sekolah menyebabkan Jalur Gemilang dipasang secara terbalik. Tindakan ini menimbulkan salah faham beberapa pihak yang menganggap perbuatan itu seperti menghina negara.
Sekolah Jenis Kebangsaan Pui Ying di Klang telah menghias sekolah mereka dengan bendera tetapi akibat kecuaian seorang pekerja, dia memasang bendera dalam keadaan terbalik.
Hal ini juga berlaku di sekolah jenis kebangsaan di Kluang, Johor apabila seorang kerana tersilap menaikkan bendera dan ia tidak disedari.
Rentetan daripada situasi ini, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menjelaskan tiada lagi amaran atau kompromi terhadap mana-mana pihak yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik selepas ini.
Ini adalah amaran terhadap mereka yang masih tidak tahu menghormati bendera negara sendiri. Menurutnya lagi, isu pasang bendera Malaysia terbalik ini sudah banyak kali dibuat dan negara kita sudah 63 tahun merdeka, jadi perkara seumpama ini tidak sepatutnya berlaku.
“Selepas ini saya tidak lagi akan memberi amaran. Jika ada lagi kes ini saya akan arahkan pegawai penyiasat untuk buka kertas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Tiada lagi permohonan maaf akan diberikan selepas ini,” jelas Datuk Ayob Khan.
Jelasnya lagi, kesalahan tersebut adalah kali terakhir dan selepas ini tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mana-mana pihak individu yang melakukan perbuatan seperti itu.
Seharusnya perkara ini tidak berlaku sekiranya masyarakat memandang serius dan sentiasa berhati-hati sebelum melakukan sesuatu perkara itu. Mungkin masih ramai yang menganggap perkara ini remeh, namun ia memberi impak dan pandangan yang buruk terhadap negara.
Sumber: Sinar Harian