Isu Kemiskinan Haid: 13.1 Peratus Remaja & Wanita B40 Tidak Mampu Beli Tuala Wanita

Share

Baru-baru ini isu kemiskinan haid sering dibahaskan dalam masyarakat kita dan Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul juga ada mengumumkan dalam Belanjawan 2022, kit asas kebersihan diri akan diagihkan secara percuma setiap bulan kepada 130,000 remaja wanita golongan B40.

BACA: “Sanggup Hamil Demi Elak Period”, Isu Kemiskinan Haid Benar-Benar Berlaku Di Negara Kita

Foto: Natracare

Terbaharu, satu kajian yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkaitan kemiskinan haid melibatkan remaja perempuan dan wanita daripada kumpulan B40 di sekitar ibu negara mendapati 13.1 peratus daripada golongan itu tidak mampu membeli tuala wanita berikutan harga yang mahal.

BACA: Scotland Jadi Negara Pertama Beri Pad & Tampon Secara Percuma

Sebanyak 16.4 peratus daripadanya pula menyatakan mereka mengalami kesulitan untuk membeli produk pengurusan haid itu.

Kajian rintis ini dilaksanakan melibatkan remaja perempuan dan wanita berusia 13 tahun hingga 24 tahun di 13 komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan dua institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Hal ini dibentangkan di parlimen oleh Timbalan Menteri berkenaan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff menjawab soalan yang diberikan oleh Senator Datuk T. Mohan yang ingin mengetahui keadaan sebenar masalah kemiskinan haid di negara ini.

Foto: Malaysiakini

Kemiskinan haid merujuk kepada situasi apabila perempuan atau keluarga mereka tidak mampu memiliki tuala wanita disebabkan kekangan kewangan.

Justeru itu, bagi mengatasi masalah ini, KPWKM mengadakan program kesedaran dan program pemberian kit kebersihan kepada 130,000 remaja selain program pekerti sebagai usaha mendirik remaja tentang pendidikan kesihatan.

Foto: Ben Wicks (Gambar hiasan)

Program pengagihan (kit pengurusan haid) dilaksanakan ini melibatkan remaja berusia 13 hingga 17 tahun melalui sekolah-sekolah yang melibatkan 1,105 sekolah di seluruh negara.

Foto: Natracare

Mungkin sebelum ini ramai yang terlepas pandang tentang isu kemiskinan haid kerana tidak pernah terfikir atau melaluinya. Diharap dengan kebangkitan isu ini sedikit sebanyak dapat memberikan pendedahan kepada masyarakat, khususnya yang ingin memberikan bantuan kepada golongan yang tidak berkemampuan. Bukan sahaja bantuan makanan dan pakaian, tuala wanita juga wajar diberikan kepada golongan miskin untuk kelangsungan hidup.

BACA: 20 Tempat Di Luar Negara Yang Menyediakan Produk Haid Secara Percuma

**

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Sumber: (1)

Published by
Noor Ain Norman