Menurut Yuka, konsert yang sepatutnya diadakan pada 16 November lalu merupakan cara untuk Aisha membayar semula jumlah wang yang dipinjamkan. Namun, disebabkan jualan tiket yang tidak memuaskan dengan hanya 98 tiket terjual, Yuka berharap pihak Aisha dapat melunaskan baki pembayaran yang masih tertunggak, iaitu sebanyak RM77,000 selepas Aisha membuat pembayaran sebanyak RM6,000 pada Mei lalu.
“Kami dengan rela hati meminjamkan RM83,000 untuk persembahannya di AJL dan setakat ini dia baru jelaskan RM6,000 pada Mei lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: “Penganjur Seolah Menyalahkan, Saya Rasa Ini Penindasan…” Aisha Retno Tampil Beri Penjelasan
“Kami tidak pernah menjanjikan tajaan malah saya mempunyai bukti melalui mesej langsung dan mesej suara. Kami hanya menaja perkhidmatan sebagai pengarah persembahan bukan wang dana,” jelas Yuka.
Tambahnya lagi, pihaknya memaklumkan bahawa pinjaman wang tersebut diberikan berdasarkan hubungan baik dengan Aisha Retno, yang telah meminta bantuan untuk membuat persiapan persembahan di AJL.
“Pihak Aisha Retno (ARE) menyatakan bahawa mereka mempunyai kesukaran untuk mencari dana bagi persembahan Aisha pada AJL tersebut dan telah memohon bantuan daripada pihak Kharisma Music untuk merealisasikan persembahannya.
“Disebabkan hubungan baik antara pihak ARE dan Yuka Kharisma, maka Kharisma Music telah bersetuju untuk membantu pihak ARE dalam mencari dana yang diperlukan.
“Akibat kesuntukan masa dalam mengumpul dana, Kharisma Music telah bersetuju untuk memberikan pinjaman pendahuluan (advance) bagi memastikan segala persiapan dan persembahan Aisha di pentas akhir AJL lancar,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Kharisma Music International memaklumkan bahawa Konsert Malam Samudera Aisha Retno yang dijadualkan pada 16 November telah dibatalkan atas faktor jualan tiket yang rendah. Aisha, dalam reaksinya, meluahkan rasa kesal dengan keputusan penganjur yang membatalkan konsert tanpa memaklumkan kepadanya terlebih dahulu.
Sebagai tambahan, Aisha Retno yang merupakan gadis berdarah kacukan Melayu, Arab, dan Jawa, telah mencapai kejayaan sebagai naib juara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-38 menerusi lagu Sutera, ciptaannya sendiri bersama MFMF, sekaligus membawa pulang wang tunai RM50,000 beserta trofi. Aisha juga merupakan finalis top 6 dan pemenang keempat dalam rancangan The Hardest Singing Show
.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Kosmo!