Biarpun mengambil sedikit masa, semakin ramai artis seni kontemporari tempatan yang menerima pengiktirafan selayaknya hasil daripada kreativiti dan tenaga yang dikerah untuk menghasilkan karya seni bertaraf antarabangsa.
Terbaru, seorang seniman kontemporari bernama Red Hong Yi telah menempa nama selaku pencipta karya seni yang dijadikan sebagai penghias wajah hadapan atau cover majalah antarabangsa, TIME Magazine.
Red Hong Yi. Sumber Foto: Instagram @redhongyi.
View this post on Instagram
Menerusi muat naik di akaun Instagram, artis kelahiran Sabah ini menjelaskan tentang pemilihan konsep perubahan iklim sebagai cover majalah yang bakal dilancarkan pada 24 April nanti.
“Kami (dia dan pasukannya) melekatkan batang-batang mancis tanpa henti selama lapan jam sehari, sepanjang tempoh dua minggu. Kemudiannya, ia dibakar dalam masa dua minit saja untuk jurufoto dan juruvideo merakamkannya.
“Saya benar-benar berbesar hati kerana telah menghasilkan karya istimewa untuk isu TIME Magazine pada bulan kesedaran perubahan iklim ini.”
“Apabila pandemik COVID-19 terus merebak di seluruh dunia, kita semakin diingatkan bahawa tiada negara yang terkecuali dalam soal krisis global. Sama ada ia pandemik, keruntuhan ekonomi atau dalam isu yang diketengahkan ini, masalah perubahan iklim yang perlu ditangani,” catatnya.
Menariknya, cover majalah ini mendapat sentuhan daripada seniman Malaysia sendiri apabila foto tersebut telah ditangkap oleh pengasas Women Photographers Malaysia, Annice Lyn.
Untuk pengetahuan, Red terdahulu merupakan seorang arkitek dan pernah melanjutkan pengajian dalam bidang seni bina di Universiti Melbourne, Australia sebelum beralih arah ke bidang seni kontemporari.
*
Sebelum ini, REMAJA pernah melaporkan mengenai artis seni remaja yang dipilih untuk menghasilkan mural di hadapan Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur.
ARTIKEL BERKAITAN : Pemuda Ini Berjaya Hasilkan 12 Lakaran Haiwan Terancam Di Papan Iklan KLCC – REMAJA