Isu ‘Refund’ Tiket AirAsia Belum Selesai? Tony Fernandes Jelaskan

Share

 

Realitinya, kebanyakan daripada kapal terbang milik syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia sudah tidak beroperasi lebih dari setahun akibat pandemik COVID-19.

 

Justeru, syarikat tersebut terpaksa berdepan dengan pembayaran semula wang tiket penerbangan yang telah terjual. Isu ‘refund’ ini telah hangat diperkatakan oleh warganet sejak tahun lalu lagi.

Perlahan-lahan, AirAsia mengotakan janji untuk membayar semula biarpun syarikat tersebut tidak mempunyai apa-apa sokongan kewangan seperti yang diterima oleh syarikat penerbangan di bawah kerajaan.

Menerusi video berdurasi 3 minit 8 saat semalam di IGTV AirAsiaTravels, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tony Fernandes tampil untuk memberikan penjelasan sebenar berhubung isu ini.

“Sejak Januari 2020, kami telah mengembalikan wang pembelian tiket penerbangan sebanyak RM1.5 juta. Saya ingin berterima kasih kepada 2.9 penumpang kami yang sanggup menerima pampasan berupa Credit-Share. Itu adalah sokongan terbaik yang boleh kami harapkan dan saya amat bersyukur.

“AirAsia masih mempunyai 450,000 penumpang yang sedang menunggu wang pampasan mereka. Kami akan teruskan pembayaran semula dengan simpanan yang kami ada.”

“Itu adalah misi utama kami sekarang di samping memastikan AirAsia kekal bernafas.

“Saya meminta anda semua memberi kami sedikit masa dan bersabar. Kami akan terus jujur dalam hal ini,” katanya dari ibu pejabat AirAsia di RedQ, Sepang yang kelihatan sedikit kosong akibat situasi ‘Work From Home’ yang dijalankan oleh syarikat penerbangan itu.

 

AirAsia X Berdepan Lebih Cabaran

Dalam pada itu, syarikat AirAsia X pula akui Tony sedang bergelut dengan lebih banyak cabaran. Ini kerana syarikat tersebut tidak boleh ‘terbang’ ke luar negara akibat situasi pandemik.

“AirAsia X sedang mengalami isu kewangan yang amat membimbangkan kerana kami tidak boleh beroperasi keluar dari negara buat masa ini. Demi survival, AirAsia X kini berdepan rombakan korporat demi membolehkan berjuta-juta penumpang kami untuk terus ‘terbang’ ke Australia, Jepun, Korea dan lokasi lain selepas ini.

“Biarpun kita tidak dapat larikan diri daripada tempias COVID-19, kami masih cuba mengekalkan seramai mungkin pekerja kami dan kami pasti akan kembali dengan semangat baru. Semoga akan ada ‘the light at the end of tunnel’ buat kami, saya pasti.”

Tinjauan REMAJA di bahagian komen melihatkan warganet tampil memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap AirAsia secara amnya.

Ada yang berjanji untuk memberikan sokongan dan akan terus memilih penerbangan AirAsia selepas pandemik beransur pulih. Ada juga yang ‘menghalalkan’ saja tiket penerbangan yang pernah mereka beli agar AirAsia mampu membayar kakitangannya, terlebih dahulu.

Apapun, industri penerbangan adalah di antara industri yang paling teruk terjejas akibat COVID-19 dan situasi yang menimpa AirAsia ini tidak boleh dielakkan oleh mana-mana syarikat penerbangan.

ARTIKEL BERKAITANAirAsia Beri 2 Pilihan, Pilih Kredit Atau Tukar Tarikh Penerbangan Tanpa Had – REMAJA

Diharap agar Tan Sri Tony Fernandes akan tabah menempuhi cabaran ini dan agar AirAsia serta syarikat ‘adik-beradiknya’ mampu untuk kembali berdiri dengan lebih teguh selepas ini.

BACA LAGIBekas Pekerja AirAsia Kongsi Ucapan Penghargaan Di Media Sosial Buat Netizen Sebak – REMAJA

Published by
FZ